Berita

Malaysia kekal di kedudukan ke-57 Indeks Persepi Rasuah

- Diterbit 12 Februari 2025 11:47 AM MYT

MALAYSIA mengekalkan skor 50 dan berada di kedudukan ke-57 bagi keputusan Indeks Persespi Rasuah (CPI) daripada 180 negara, sama seperti tahun lalu.

Ketua Setiausahan Negara, Tan Sri Dato’ Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar, berkata kerajaan akan terus komited untuk memperhebatkan usaha dalam memperkukuh integriti, ketelusan dan tadbir urus yang baik.

“Bagi tujuan itu, pasukan Petugas Khas Indeks Persepsi Rasuah (CPI) telah mula bersidang sejak Oktober 2024 dan akan terus meningkatkan langkah-langkah penambahbaikan yang strategik.

“Pasukan ini dianggotai pegawai kanan pelbagai kementerian, pakar berkaitan, serta Transparency International Malaysia, dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai urus setia,” katanya dalam satu kenyataan.

Enam kumpulan fokus CPI yang ditubuhkan di bawah Pasukan Petugas Khas ini akan meneliti dengan lebih mendalam dapatan daripada tinjauan yang digunakan dalam penilaian CPI.

Hasil kajian ini akan menjadi asas kepada perancangan serta pelaksanaan tindakan yang lebih berkesan dalam memperbaiki kedudukan Malaysia di peringkat antarabangsa.

“Kerajaan akan terus berusaha secara bersepadu untuk meningkatkan persepsi global terhadap kecekapan dan ketelusan sistem tadbir urus negara.

“Keputusan CPI 2024 ini dijadikan titik rujukan (baseline) dalam merealisasikan sasaran Malaysia untuk mencapai kedudukan 25 teratas dunia dalam CPI menjelang tahun 2033,” katanya lagi. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas