MALAYSIA sedang meneroka langkah strategik bagi mengurangkan kesan kenaikan tarif 10 peratus oleh Amerika Syarikat (AS) terhadap eksport negara ini.
Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menyatakan bahawa kerajaan mengambil serius isu ini dan sedang berunding secara aktif dengan pihak berkuasa AS bagi mencari penyelesaian yang selaras dengan prinsip perdagangan bebas dan adil.
“Malaysia tidak bercadang untuk mengenakan tarif balas terhadap AS, sebaliknya akan terus mengutamakan perbincangan dan diplomasi dalam mengekalkan hubungan perdagangan yang kukuh, ” katanya dalam kenyataan hari ini.
MITI berkata sebagai langkah proaktif, Pusat Arahan Geoekonomi Nasional (NGCC) yang baru diluluskan Kabinet akan menilai impak kenaikan tarif ini dan merangka strategi pelbagai pendekatan bagi mengurangkan kesannya terhadap ekonomi negara.
“NGCC, yang dipengerusikan Perdana Menteri dengan MITI sebagai sekretariat, turut disertai wakil peringkat tinggi daripada pelbagai kementerian dan agensi utama, ” katanya.
Selain itu, MITI turut memaklumkan bahawa Pasukan Petugas Geoekonomi ASEAN yang ditubuhkan pada Pemukiman Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN Februari lalu dijangka mengadakan mesyuarat pertama tidak lama lagi bagi membincangkan kesan tarif ini di peringkat serantau.
Menurut MITI, Malaysia akan terus memanfaatkan Perjanjian Rangka Kerja Perdagangan dan Pelaburan (TIFA) bagi mendapatkan manfaat perdagangan timbal balik dengan AS.
“Selain itu, negara ini juga akan meneruskan Perjanjian Perlindungan Teknologi bagi memudahkan kerjasama dalam sektor berteknologi tinggi seperti semikonduktor, aeroangkasa dan ekonomi digital, ” katanya.
Menurut Biro Analisis Ekonomi AS, Malaysia menduduki tempat ke-15 dalam senarai negara yang mencatat lebihan perdagangan dengan AS, berjumlah USD24.8 bilion pada 2024.
“Meskipun AS mengalami defisit perdagangan dalam barangan, negara itu menikmati lebihan perdagangan dalam sektor perkhidmatan dengan Malaysia, mencerminkan hubungan ekonomi dua hala yang kukuh, ” katanya.
MITI mengakui bahawa kenaikan tarif oleh Presiden Donald Trump mencetuskan cabaran kepada perdagangan global. Namun, Malaysia tetap percaya kepada pendekatan rundingan yang membina demi hubungan ekonomi yang saling menguntungkan.
“Dalam usaha mengurangkan kesan tarif, kerajaan sedang memperluaskan pasaran eksport ke wilayah berpotensi tinggi serta mengukuhkan penggunaan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) sedia ada seperti Perjanjian Komprehensif dan Progresif untuk Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) dan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP).
“Malaysia juga akan mempercepatkan pelaksanaan dasar perindustrian utama seperti Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR) bagi meningkatkan daya tahan rantaian bekalan negara, ” katanya.
MITI turut memberi jaminan bahawa kerajaan akan terus melibatkan diri dengan industri yang terkesan dan meneroka program sokongan bagi membantu perniagaan menyesuaikan diri dengan cabaran semasa.
“Malaysia menghadapi cabaran ini dari kedudukan yang kukuh. Walaupun persekitaran perdagangan global mencabar, asas ekonomi negara kekal teguh dengan permintaan domestik yang stabil sebagai pemacu utama pertumbuhan,” menurutnya.
MITI menegaskan bahawa ekonomi Malaysia akan terus berdaya tahan dalam menghadapi cabaran global ini dan kerajaan komited untuk memastikan perdagangan negara terus berkembang dalam persekitaran ekonomi yang kompetitif.-WILAYAHKU