SELARAS dengan komitmen berterusan terhadap solidariti serantau dan respons kemanusiaan, Kerajaan Malaysia melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) akan menghantar satu Pasukan Penilaian ke Yangon, Myanmar hari ini.
Menurut Wisma Putra, pasukan tersebut, yang terdiri daripada 10 anggota akan memberi bantuan teknikal dan menjalankan penilaian keperluan bagi menyokong usaha bantuan kemanusiaan dan pengurusan bencana yang sedang dilaksanakan.
“Berdasarkan dapatan pasukan penilaian awal ini, satu lagi pasukan NADMA melibatkan 40 anggota dijadualkan berlepas esok.
“Pasukan ini akan memberi tumpuan kepada kawasan keutamaan yang dikenal pasti dalam penilaian awal, bagi memastikan bantuan Malaysia
disalurkan secara tepat, relevan dan responsif terhadap keadaan semasa,” katanya dalam kenyataan.
Wisma Putra memberitahu, keputusan untuk menghulurkan bantuan ini diambil susulan kejadian gempa bumi yang melanda kawasan tengah Myanmar, utara Thailand dan sebahagian selatan China, yang telah mengorbankan banyak nyawa dan menyebabkan kemusnahan besar.
“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam mesej yang dikongsikan semalam menzahirkan rasa dukacita terhadap skala kemusnahan tersebut dan merakamkan ucapan takziah kepada mangsa dan keluarga mereka.
“Beliau turut menegaskan solidariti Malaysia bersama negara-negara jiran ASEAN dan menyatakan kesediaan
Malaysia untuk menyokong segala usaha bantuan dan pemulihan,” katanya.
Jelas Wisma Putra, Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan juga mengulangi komitmen ini, sambil menegaskan bahawa ASEAN bersedia untuk membantu Myanmar dan Thailand dalam usaha tindak balas bencana, selaras dengan keutamaan yang ditetapkan oleh kedua-dua negara.
Beliau katanya, turut menyatakan bahawa negara-negara anggota ASEAN akan berkoordinasi secara rapat melalui Pusat Penyelarasan ASEAN bagi Bantuan Kemanusiaan dalam Pengurusan Bencana (AHA Centre), bagi memastikan bantuan kemanusiaan disampaikan dengan segera, tepat dan berkesan.
“Kementerian Luar Negeri sedang menyelaras segala keperluan visa dan logistik bagi misi ini.
“Kedutaan Besar Malaysia di Yangon juga akan memberi sokongan kepada operasi pasukan tersebut semasa mereka di Myanmar, termasuk penyelarasan bersama pihak berkuasa tempatan,” katanya.
Jelasnya, Malaysia kekal teguh dalam komitmennya terhadap kerjasama serantau dan akan terus menyumbang secara bermakna kepada usaha bantuan kemanusiaan dan pengurusan bencana di seluruh ASEAN.
Tambah Wisma Putra, dalam semangat tanggungjawab bersama, Malaysia berdiri teguh bersama semua komuniti yang terjejas dalam tempoh pemulihan ini. – WILAYAHKU