MALAYSIA telah bersiap siaga sepenuhnya menggalas tanggungjawab sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun 2025 sekali gus menghadapi landskap geopolitik yang semakin kompleks.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hassan berkata Malaysia telah menggariskan tiga keutamaan Kepengerusiannya dalam memastikan rantau Asia Tenggara kekal aman, stabil, selamat dan makmur ketika berhadapan cabaran geopolitik antarabangsa semasa.
“Ini akan dilaksanakan menerusi membina keyakinan strategik, dialog dan diplomasi, dengan berlandaskan prinsip Kepusatan ASEAN, atau dengan izin, ASEAN Centrality;
“Kedua, Malaysia akan memberi tumpuan kepada usaha untuk meningkatkan perdagangan dan pelaburan intra-ASEAN yang dilihat masih berada di peringkat yang rendah serta memperluas kerjasama dan perkongsian ekonomi dengan rakan-rakan di luar rantau ini;
“Malaysia juga akan mengutamakan usaha-usaha untuk merapatkan jurang pembangunan, meningkatkan kualiti kehidupan dan menangani impak perubahan iklim supaya manfaat ekonomi dan pembangunan dapat dirasai oleh semua lapisan masyarakat di rantau ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawap soalan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) yang bertanyakan sejauh mana kesiapsiagaan Malaysia menjelang kepengerusian ASEAN 2025 dari sudut kerjasama serantau dalam mendepani landskap geopolitik global serta apakah anjakan baharu serta bidang keutamaan mengikut sektor mengambil kira pengalaman Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN pada 1977, 1997, 2005 dan 2015.
Menurut Mohamad, berdasarkan pengalaman Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun 1977, 1997, 2005 dan 2015, Malaysia akan terus membawa anjakan baharu dalam pendekatan menerusi tema “Keterangkuman dan Kemampanan” sebagai panduan utama Malaysia dalam mengemudi ASEAN.
“Tema ini, antara lain, menekankan pentingnya dialog dan kerjasama terangkum dan mampan bagi memastikan rantau Asia Tenggara kekal aman dan stabil. Ini akan membolehkan segala aspek kelangsungan hidup diteruskan.
“Tema ini juga memberi tumpuan kepada pendekatan ekonomi yang pragmatik yang bersandarkan nilai-nilai kemanusian yang mengambil kira kepentingan setiap lapisan masyarakat di rantau ini.
“Secara praktiknya, ia bermaksud menjadikan ASEAN sebagai sebuah destinasi pelaburan dan pembangunan yang menarik di samping mengurangkan kesan buruk yang diakibatkan oleh kepesatan ekonomi, seperti pencemaran dan kemusnahan alam sekitar,” katanya.
Beliau berkata sejajar dengan tema tersebut dan bagi merancakkan lagi potensi ekonomi di rantau ini, Malaysia komited untuk menerajui inisiatif bagi meneroka serta memperluas kerjasama dan perkongsian ekonomi di luar rantau ASEAN.
“Salah satu usaha utama adalah penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN-GCC Ke-2 serta Sidang Kemuncak ASEAN-GCC + China, yang menjadi wadah untuk merintis peluang perdagangan, pelaburan dan perkongsian teknologi dengan lebih meluas,” katanya.
Menurut Mohamad, dalam memastikan ASEAN menikmati limpahan manfaat yang sama rata, Malaysia turut menyokong kemasukan segera Timor-Leste sebagai Negara Anggota ASEAN.
“Kemasukan TimorLeste bukan sahaja melengkapkan lagi ASEAN sebagai sebuah rantau, malah berpotensi mengukuhkan lagi kerjasama politik, ekonomi dan sosio-budaya di kalangan Negara Anggotanya.
“Dengan penyertaan Timor-Leste, ASEAN akan dapat diperkasakan sebagai sebuah organisasi serantau yang terangkum, mampan, berdaya tahan dan berupaya menghadapi pelbagai cabaran semasa dan masa hadapan,” katanya.
Tambah Mohamad, semasa Kepengerusian ASEAN-Malaysia juga, ASEAN akan melancarkan Visi Komuniti ASEAN 2045 dan Pelan-pelan Strategiknya yang akan melakar halatuju strategik rantau ini bagi 20 tahun akan datang.
“Sebagai Peneraju Utama, atau dengan izin, Permanent Shepherd, visi ini, Malaysia akan memastikan ia akan menjadi kerangka utama dalam menyumbang kepada keamanan, kestabilan dan kerjasama di rantau ini.
“Selain itu, ia juga akan sekali lagi bakal melakar sejarah kepada Malaysia sebagai negara tuan rumah untuk menyaksikan Visi tersebut diperaku dan dilancarkan oleh Pemimpin ASEAN,” katanya. – WILAYAHKU