Berita

Malaysia dipilih semula ahli Majlis Pentadbir SIAP

- Diterbit 25 April 2025 8:00 PM MYT

MALAYSIA sekali lagi diberi kepercayaan apabila berjaya dipilih semula sebagai ahli Majlis Pentadbir Statistical Institute for Asia and the Pacific (SIAP) bagi penggal 2025-2027.

Menurut Pejabat Ketua Perangkawan, Jabatan Perangkaan Malaysia, pemilihan itu dilakukan menerusi proses pengundian yang berlangsung sempena sesi Suruhanjaya Ekonomi dan Sosial Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Asia dan Pasifik (ESCAP) ke-81 di Bangkok, Thailand

Jelasnya, pemilihan ini menandakan penggal kedua berturut-turut Malaysia sebagai ahli Majlis Pentadbir, selepas penggal 2023–2025.

“Malaysia menerima sokongan padu dan undian memberangsangkan daripada negara anggota rantau Asia dan Pasifik.

“Bersama Malaysia, tujuh lagi negara telah memperoleh undian majoriti untuk mengisi
lapan kerusi yang dipertandingkan, iaitu China, India, Mongolia, Filipina, Korea Selatan, Thailand dan Pakistan,” jelasnya dalam kenyataan.

Katanya, pelantikan semula ini mencerminkan pengiktirafan dan keyakinan berterusan komuniti antarabangsa terhadap peranan aktif serta sumbangan signifikan Malaysia dalam memperkukuh ekosistem statistik di peringkat serantau dan global, khususnya menerusi kepimpinan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ia juga katanya, membuka ruang strategik untuk Malaysia terus memperluas jaringan kerjasama, memperkasa pembangunan kapasiti statistik dan menyumbang secara lebih aktif kepada agenda statistik serantau dan antarabangsa.

“Sepanjang penggal terdahulu, Malaysia bukan sahaja memainkan peranan sebagai
ahli Majlis Pentadbir SIAP, malah telah diberikan mandat untuk mempengerusikan
Mesyuarat Governing Council ke-18 dan ke-19 bagi dua tahun berturut-turut (2022 dan 2023).

“Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin akan terus mewakili negara sebagai ahli Majlis Pentadbir SIAP dan beliau menyatakan komitmen Malaysia untuk terus menyokong agenda SIAP secara aktif,” katanya.

SIAP ditubuhkan pada 1970 dan kemudiannya diiktiraf sebagai sebuah institusi serantau di bawah naungan ESCAP pada 1995.

SIAP yang berpusat di Chiba, Jepun, berperanan sebagai pusat latihan statistik profesional bagi pegawai kerajaan dari negara membangun, dengan memberi tumpuan kepada pengukuhan kapasiti sumber manusia melalui penyediaan latihan teknikal dan praktikal di peringkat Asia dan Pasifik.

SIAP ditadbir oleh Majlis Pentadbir (Governing Council) yang terdiri daripada seorang wakil yang dilantik oleh Kerajaan Jepun selaku tuan rumah, serta lapan wakil yang dicalonkan oleh negara anggota dan ahli bersekutu ESCAP yang dipilih oleh suruhanjaya melalui proses pengundian.

Majlis ini berperanan untuk menyelia operasi, mempertimbangkan serta meluluskan pelaksanaan program latihan tahunan dan perancangan jangka panjang SIAP. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas