Berita

Malaysia dan Peru bincang tingkat peluang kerjasama ekonomi

Kredit foto: Facebook Anwar Ibrahim
- Diterbit 17 November 2023 7:21 AM MYT

PELUANG kerjasama ekonomi antara kedua-dua negara Malaysia dan Peru merupakan perkara utama yang dibincangkan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkara itu dibincangkan ketika mengadakan pertemuan dua hala dengan Presiden Peru, Dina Ercilia Boluarte Zegarra.

“Dalam pertemuan tersebut Presiden Boluarte memohon Malaysia mempertimbangkan pembukaan sebuah pejabat di Peru untuk menjadi pemudah cara pensijilan halal bagi produk di negara tersebut.

“Presiden Boluarte turut mempelawa saya ke Peru tahun depan, sempena Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2024 yang akan dipengerusikan negara itu.

“Dalam pertemuan ini, saya juga menyampaikan ucapan terima kasih kepada pihak berkuasa Peru kerana menyelamatkan dan membantu 43 rakyat Malaysia yang menjadi mangsa pemerdagangan manusia dan eksploitasi buruh di Peru baru-baru ini,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Tambah Perdana Menteri, beliau dan Dina turut menyentuh isu pemerkasaan wanita dan perubahan iklim dalam pertemuan berkenaan.

“Malaysia juga menyatakan sokongan kepada usaha Peru untuk mewujudkan status Perkongsian Pembangunan dengan ASEAN,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas