MALAYSIA dan China harus memanfaatkan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) bagi mengukuhkan lagi hubungan dua negara ini.
Pengarah Urusan Kumpulan Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim berkata RCEP yang mempunyai jangkauan hubungan merentasi rantau Asia Pasifik, menyediakan peluang yang tiada tandingan untuk kerjasama dan pertumbuhan ekonomi.
“Dengan menerima perjanjian ini, kedua-dua negara mampu mengukuhkan integrasi ekonomi, memudahkan perdagangan yang lebih lancar dan memupuk persekitaran yang kondusif untuk inovasi dan pembangunan mampan,” katanya ketika berucap dalam Dialog Perniagaan China-Malaysia Belt and Road keempat yang diadakan di Shenzhen, China, baru-baru ini.
Irmohizam berkata usaha kerjasama selama ini telah mengukuhkan hubungan antara Malaysia dan China, membuka jalan kepada perkongsian yang saling menguntungkan.
Beliau berkata tahun 2023 yang menandakan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia dan China, membuktikan persahabatan yang erat, hasil kerjasama yang berkembang selama beberapa dekad.
“Kerjasama ekonomi dan perdagangan antara kedua-dua negara bukan sahaja menyumbang kepada kemakmuran rakyat tetapi juga memupuk semangat perpaduan dan persefahaman,” katanya.
Irmohizam berkata inisiatif Belt and Road telah memainkan peranan penting dalam menghubungkan ekonomi Malaysia dan China, mewujudkan peluang perniagaan dan meningkatkan pertukaran budaya antara kedua-dua negara.
Sementara itu, WTCKL secara konsisten menjadi tempat pilihan untuk menganjurkan pameran perdagangan oleh entiti dari China, seperti Ekspo Perdagangan Malaysia-China, Game Times International dan OCTF Shenzhen, yang bukan sahaja mempamerkan tarikan antarabangsanya tetapi turut menekankan komitmennya untuk memupuk kerjasama dan mempromosikan perdagangan dua hala.
Kerjasama yang turut dibantu oleh WTCKL ini menjadi bukti potensi perkongsian yang saling menguntungkan antara perniagaan Malaysia dan China, kata Irmohizam.
“Usaha ini menyumbang dengan ketara kepada objektif yang lebih meluas bagi inisiatif Belt and Road, menggalakkan kerjasama dan memupuk inovasi dalam komuniti perniagaan kedua-dua negara kita,” katanya. – BERNAMA