MALAYSIA dan China memperteguh tekad bersama untuk membina kerjasama strategik yang lebih bermakna melalui pelaksanaan Komuniti Berkongsi Masa Depan yang diumumkan pada 2023 yang dilihat sebagai fasa baharu dalam hubungan dua hala, berpaksikan nilai sejarah, saling hormat, dan wawasan bersama demi keamanan serta kemakmuran serantau.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, lawatan Presiden China, Xi Jinping ke Malaysia selepas lebih satu dekad bukan sekadar simbol hubungan diplomatik, tetapi mencerminkan kesetiaan persahabatan yang teruji zaman dan semakin utuh dalam menghadapi cabaran global.
“Hubungan kita bukan semata-mata berteraskan angka perdagangan atau pelancongan, tetapi pada pengertian mendalam bahawa kemakmuran yang lestari mesti dikongsi, dan kepercayaan yang dibina mesti dijaga dengan sabar dan komitmen,” katanya dalam sidang media bersama di Putrajaya hari ini.
Perdana Menteri turut mengiktiraf peranan China dalam membentuk satu tatanan global baharu melalui pelbagai inisiatif seperti Belt and Road, Global Development Initiative, Global Security Initiative, dan Global Civilization Initiative yang menganjurkan keamanan melalui dialog serta kerjasama merentasi budaya.
“Ketika multilateralisme berada di ambang krisis, apabila ada kuasa besar menyimpang daripada prinsip tanggungjawab bersama, China tampil sebagai suara rasional dan harapan baharu kepada dunia,” tegas Anwar.
Anwar turut menyeru kepada semua negara agar menghindari amalan proteksionisme dan unilateralisme yang merosakkan asas tatanan ekonomi dunia, sambil mengulangi pepatah Melayu: “Air dicincang tidak akan putus” — menggambarkan hubungan Malaysia-China yang tidak mudah dipisahkan.
Sementara itu, Presiden China, Xi Jinping menyifatkan hubungan dua negara yang sudah terjalin ribuan tahun sebagai istimewa selain turut menggelarkan Malaysia sebagai sahabat setia kepada China.
Presiden Xi turut menyambut baik komitmen Malaysia untuk memperkukuh kerjasama dua hala dan menyifatkan Malaysia sebagai sahabat strategik yang penting dalam landskap geopolitik serantau.
“Saya amat tersentuh melihat kemajuan Malaysia sejak lawatan terakhir saya pada 2013. Hari ini, di bawah kepimpinan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, Malaysia terus mara sebagai negara yang stabil, moden dan dihormati,” katanya.
Presiden Xi menekankan bahawa hubungan dua hala bukan sekadar perkongsian ekonomi, tetapi juga cerminan nilai-nilai tamadun yang dikongsi, termasuk Islam dan Konfusianisme yang memperkukuh dialog antara peradaban dan saling memahami.
“Kami menyambut baik usaha Perdana Menteri Anwar dalam menganjurkan wacana ketamadunan yang memupuk persefahaman bersama. Dalam dunia yang cenderung ke arah pertembungan, Malaysia dan China memilih jalan keharmonian dan dialog,” katanya.
Beliau turut memetik pepatah Cinyang bermaksud “Tiada apa yang sukar di dunia ini, hanya mereka yang tidak berazam akan gagal”, sebagai lambang keteguhan dan azam bersama kedua-dua negara dalam menghadapi cabaran masa depan.
Xi menyifatkan hubungan Malaysia-China kini berada di landasan terbaik untuk memasuki era keemasan, dengan 50 tahun hubungan diplomatik menjadi asas untuk membawa kerjasama lebih tinggi dalam ekonomi, budaya dan keselamatan serantau.
“Kami percaya, dengan kesungguhan dan visi bersama, hubungan ini akan terus mekar — sedalam lautan, seteguh bintang, dan secerah harapan masa depan,” katanya.-WILAYAHKU