MALAYSIA mencatatkan sebanyak RM83.7 bilion dalam pelaburan yang diluluskan merentasi pelbagai sektor bagi tempoh Januari hingga Mac 2024 (Q1 2024).
Ia menunjukkan peningkatan sebanyak 13 peratus berbanding RM74.1 bilion yang dicapai dalam tempoh sama tahun lalu.
Menteri Pelaburan, Perdagangan, dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata ia menunjukkan bagaimana Malaysia telah memperoleh kepercayaan pelabur.
Jelas Tengku Zafrul, menerusi kerjasama rapat dengan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), bukan sahaja mencpaai jumlah pelaburan sedemikian, tetapi juga menterjemahkan pelaburan ini dengan pantas kepada peluang perniagaan untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan pekerjaan untuk rakyat Malaysia.
“Bukti sebenar daya saing Malaysia adalah dalam aliran masuk pelaburan yang berterusan ke dalam sektor sasaran utama yang digariskan oleh Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030, termasuk dalam industri pertumbuhan tinggi seperti semikonduktor, pusat data, tenaga boleh diperbaharui (RE) dan kenderaan elektrik.
“Kami akan terus memberi tumpuan kepada pembaharuan industri jangka panjang dan usaha dasar strategik lain untuk memupuk ekosistem pelaburan yang kondusif, untuk memacu produktiviti serta pertumbuhan inklusif yang mampan sekali gus membuka jalan untuk Malaysia menjadi salah satu daripada 30 ekonomi terbesar di dunia menjelang 2033,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pelaburan yang diluluskan ini terdiri daripada 1,257 projek, yang dijangka menjana 29,027 peluang pekerjaan baharu untuk rakyat Malaysia.
Pelaburan asing menyumbang sebanyak 56.2 peratus, atau RM47.0 bilion daripada jumlah pelaburan, manakala pelaburan domestik membentuk baki 43.8 peratus bernilai RM36.7 bilion.
Austria mendahului senarai pelabur asing dengan margin yang sangat luas, dengan RM30.1 bilion (64 peratus) dalam pelaburan yang diluluskan, diikuti Singapura (RM5.6 bilion), Belanda (RM3.6 bilion), China (RM3.4 bilion), dan Amerika Syarikat (RM632.8 juta).
Dari segi negeri, Kedah mencatatkan nilai pelaburan yang diluluskan tertinggi (RM31.3 bilion), diikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (RM21.5 bilion), Selangor (RM12.4 bilion), Sarawak (RM4.2 bilion), dan Johor (RM4.1 bilion). – WILAYAHKU