MALAYSIA bersedia bagi membantu negara Bangladesh untuk mengembalikan keamanan dan ketenteraman ke arah pembangunan semula negara tersebut.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau telah membuat satu panggilan telefon kepada Ketua Penasihat kepada Kerajaan Interim Bangladesh, Prof Muhammad Yunus bagi mengucapkan tahniah dan bertanyakan khabar susulan pelantikan Muhammad Yunus baru-baru ini.
“Prof Muhammad Yunus mempunyai sejarah hubungan yang baik dengan Malaysia. Justeru, saya telah memberi jaminan kesediaan Malaysia untuk membantu Bangladesh mengembalikan keamanan dan ketenteraman ke arah pembangunan semula negara itu.
“Saya juga gembira dengan jaminan yang diberikan oleh beliau untuk melindungi dan memberi layanan yang saksama kepada semua warga Bangladesh termasuk golongan minoriti,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Tambah Anwar, Prof Muhammad Yunus turut menjemput beliau untuk melakukan lawatan pendek ke Bangladesh dalam masa yang terdekat bagi mengukuhkan lagi hubungan persaudaraan di antara kedua-dua negara. – WILAYAHKU