Berita

Malaysia berpuas hati dengan persidangan APEC – PM

- Diterbit 23 November 2023 12:25 PM MYT

MALAYSIA secara keseluruhannya berpuas hati dengan persidangan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2023 dan negara berjaya meraih pelaburan berjumlah RM 63.02 bilion, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau menerusi catatan di Facebook hari ini berkata, pada masa yang sama Malaysia dapat menyuarakan pendirian tegas dan keras terkait isu di Palestin sepanjang persidangan itu.

“Mesej kita di setiap platform APEC adalah mudah dan jelas yakni pembunuhan dan kekejaman di Gaza oleh rejim ganas Zionis Israel perlu dihentikan,” katanya.

Menurut Perdana Menteri, APEC juga harus kekal sebagai platform bagi semua negara berkumpul untuk membangun strategi yang merangsang ekonomi sambil mengekalkan standard tertinggi kerjasama dan saling menghormati.

Anwar tiba di San Francisco pada 13 November lepas untuk menghadiri APEC yang berakhir pada 18 November. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas