Berita

Malaysia bakal jadi hab kejohanan e-sukan

AHMED (kiri) bersama Ketua Penerbitan Permainan Malaysia & Singapura MOONTON Games, Graws Wen ketika gimik perasmian Kejohanan Dunia M6.
- Diterbit 9 Disember 2024 4:41 PM MYT

ESPORTS Integrated (ESI) dalam perancangan untuk menjadikan Malaysia sebagai hab kejohanan e-sukan dunia melibatkan bukan sahaja Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) malah pelbagai permainan lain pada masa akan datang.

Ketua Pegawai Eksekutif ESI, Ahmed Faris Amir berkata ia antara usaha berdasarkan rangka tindakan e-sukan negara bagi menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang mempunyai fasiliti terbaik sukan itu.

“Secara amnya Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan banyak lagi kementerian seperti Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menyokong penganjuran Kejohanan Dunia MLBB M6.

“Jadi kita akan berusaha supaya Malaysia menjadi destinasi pilihan pertandingan kejuaraan dunia untuk permainan lain berdasarkan sokongan diberikan kepada MLBB tahun ini,” ujar beliau.

Malaysia menjadi tuan rumah Kejuaraan Dunia MLBB buat kali kedua bermula 21 November hingga 15 Disember 2024 yang melibatkan 23 pasukan dari pelbagai negara dengan Malaysia diwakili Selangor Red Giants (SRG) serta Team Vamos.

Dalam pada itu, Ketua Pemasaran dan Pembangunan Perniagaan di MOONTON Games, Fikri Rizal Mahruddin berkata pihaknya komited membangunkan ekosistem e-sukan di Malaysia menerusi pelbagai kejohanan dan program yang akan dianjurkan pada masa depan.

“Ada beberapa kejohanan antarabangsa MLBB bakal dilangsungkan yang kita akan umumkan kelak.

“Selain itu, kita fokus untuk kembangkan ekosistem e-sukan bersama-sama ESI serta KBS dan kita akan ada filem yang diadaptasi daripada perjalanan hidup bekas pemain MLBB terkemuka negara, Muhammad Faris Zakaria atau Soloz,” ujarnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas