Berita

Malaysia, Australia teroka potensi kerjasama baharu

MOHAMAD Hasan menyampaikan cenderamata kepada Penny Wong selepas Mesyuarat Tahunan antara Menteri-Menteri Luar Negeri Malaysia-Australia kali keenam.
- Diterbit 4 Disember 2024 5:15 PM MYT

MALAYSIA dan Australia meneroka potensi kerjasama baharu merentasi pelbagai sektor khususnya perdagangan dan pelaburan selain pertahanan serta keselamatan.

Menurut Wisma Putra, ia diperkukuhkan melalui Mesyuarat Tahunan antara Menteri-Menteri Luar Negeri Malaysia-Australia kali keenam sempena lawatan kerja Menteri Luar Negeri Australia, Penny Wong ke Malaysia hari ini.

Jelas Wisma Putra, mesyuarat itu dipengerusikan bersama oleh Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hassan.

Mesyuarat itu turut menilai status kemajuan kerjasama dua hala dan ia susulan kepada Mesyuarat Tahunan Pemimpin Malaysia-Australia kali kedua antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatnya dari Australia, Anthony Albanese di Melbourne pada Mac lalu.

“Kedua-dua menteri turut bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa, termasuk situasi di Myanmar, Asia Barat dan konflik Ukraine-Rusia.

“Dalam mesyuarat itu, Penny Wong turut menyatakan sokongan Australia terhadap Kepengerusian ASEAN 2025 yang akan diterajui Malaysia,” kata Wisma Putra dalam kenyataan pada Rabu.

Wisma Putra memberitahu, sebagai rakan dialog pertama ASEAN, Australia terus melaksanakan pelbagai kerjasama di bawah tiga tonggak Komuniti ASEAN, menurut kenyataan itu.

Sebelum mesyuarat itu, Penny Wong mengadakan kunjungan hormat ke atas Anwar, di mana kedua-dua pihak menilai kemajuan kerjasama yang dipersetujui semasa lawatan Perdana Menteri ke Australia.

“Perdana Menteri turut menzahirkan undangan kepada Anthony Albanese menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN dan Sidang Kemuncak Berkaitan di Malaysia pada 2025.

“Penny Wong juga mengadakan perbincangan dua hala dengan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar, Nik Nazmi Nik Ahmad mengenai kerjasama dalam industri mineral.

“Secara keseluruhan, lawatan ini mengukuhkan lagi kerjasama sedia ada yang telah wujud di bawah Perkongsian Komprehensif Strategik (CSP) yang ditubuhkan pada 2021, melalui perkongsian ekonomi yang teguh dan kesalinghubungan antara rakyat yang berterusan,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu kenyataan bersama yang dikeluarkan menyebut bahawa kedua-dua menteri mengambil maklum kemajuan signifikan dalam pelaksanaan CSP sejak dimeterai pada 2021, sambil mengulangi komitmen untuk memperkukuh kerjasama dalam tiga tonggak – Kemakmuran Ekonomi, Masyarakat dan Teknologi, serta Pertahanan dan Keselamatan Serantau. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas