KERAJAAN bersedia menganjurkan Mesyuarat Penyelarasan Pertama antara Malaysia dan Arab Saudi di peringkat Menteri Luar bagi membincangkan kerjasama kedua-dua negara dengan lebih lanjut.
Komitmen tersebut disuarakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika pertemuannya dengan Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Arab Saudi, Mohammed Salman Abdulaziz Al-Saud di Riyadh.
Dalam pertemuan itu katanya, pelbagai aspek disentuh terkait hubungan Malaysia-Arab Saudi yang perlu diperluas khususnya dalam soal perdagangan dan pelaburan.
“Ini termasuk kerjasama dalam beberapa bidang baharu antaranya kecerdasan buatan (AI), ekonomi hijau, tenaga bersih serta petrokimia,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Anwar memberitahu, beliau dan juga Putera Mahkota Arab Saudi itu juga sempat bertukar pandangan berkenaan situasi serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama.
“Saya zahirkan penghargaan terhadap kepemimpinan Kerajaan Arab Saudi terkait penganjuran Sidang Kemuncak Luar Biasa Negara Arab dan Islam termasuk usaha-usaha berterusan dalam membantu saudara Islam yang ditindas,” katanya.
Dalam pada itu beliau berkata, kesempatan yang ada juga digunakan untuk menjemput Putera Mahkota dan Perdana Menteri Arab Saudi itu bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-GCC (Majlis Kerjasama Teluk) di Kuala Lumpur.
“Saya optimis bahawa hubungan erat antara Malaysia dan Arab Saudi dapat menyumbang kepada kemakmuran rakyat Malaysia keseluruhannya, insya-Allah,” tambahnya.
Anwar tiba di Riyadh, Arab Saudi, semalam untuk menghadiri Sidang Kemuncak Negara Arab-Islam.
Kehadiran Perdana Menteri ke sidang kemuncak itu adalah untuk menyuarakan pandangan dan membawa mandat rakyat Malaysia mengenai kekejaman berterusan serta isu kemanusiaan yang berpunca daripada tindakan rejim zionis Israel di Palestin dan Lubnan.
Anwar dijadual kembali ke Kaherah untuk meneruskan lawatan rasmi empat harinya ke Mesir. – WILAYAHKU