Berita

Malaysia akhiri cabaran BAMTC di peringkat kumpulan

- Diterbit 14 Februari 2025 7:30 AM MYT

MALAYSIA gagal melangkah ke suku akhir selepas Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Asia (BAMTC) selepas tewas 2-3 dengan Indonesia dalam aksi terakhir Kumpulan B di Qingdao, China hari ini.

Skuad negara yang turun dengan misi wajib menang ketinggalan awal apabila pasangan beregu campuran berpengalaman Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie terpaksa tunduk kepada pasangan ranking nombor 126 dunia, Dejan Fernandisyah-Siti Fadia Silva Ramadhanti 21-17, 13-21, 18-21 dalam masa 64 minit permainan.

Harapan untuk melihat pemain perseorangan wanita, K. Letshanaa bangkit tidak berhasil apabila tewas di tangan Komang Ayu Cahya Dewi, 21-12, 21-19.

Walau bagaimanapun, pemain perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao cuba merapatkan kedudukan apabila berjaya merangkul kemenangan dengan menundukkan Yohannes Marcellyno 11-21, 22-20, 21-12 dalam tempoh 80 minit.

Rentak cemerlang itu gagal diteruskan oleh pasangan beregu wanita negara Go Pei Kee-Teoh Mei Xing yang tewas 21-18, 7-21, 17-21 kepada Meilysa Trias Puspitasari-Rachel Allessya Rose sekali gus memberikan Indonesia mata kemenangan penting.

Beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun yang turun sekadar melengkapkan jadual tetap memberi menampilkan semangat juang tinggi untuk menewaskan Muhammad Shohibul Fikri- Daniel Marthin 25-27, 21-17, 23-21.

Kekalahan tersebut turut menyaksikan Malaysia gagal melepasi peringkat kumpulan buat pertama kali sejak BAMTC diperkenalkan pada tahun 2017 dan hasil keputusan tersebut, Indonesia kini muncul juara kumpulan dengan melakar dua kemenangan berturut-turut selepas membelasah Hong Kong 5-0. Kedua-dua pasukan tersebut akan melangkah ke pentas suku akhir. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas