KERAJAAN memandang serius isu-isu melibatkan kedaulatan negara dan tidak akan sesekali berkompromi dengan sebarang cubaan mana-mana pihak untuk mengganggu-gugat kedaulatan serta maruah Malaysia demi kesejahteraan rakyat.
Perkara itu ditegaskan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said yang kini berada di Mahkamah Agung Perancis di Paris bagi mendengar rayuan kumpulan Sulu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan Paris yang memihak kepada Malaysia pada 6 Jun tahun lalu.
Dalam kenyataannya, Azalina berkata, kehadirannya dan delegasi ke mahkamah berkenaan di Paris adalah bagi memperkukuh kedaulatan dan kepentingan negara menentang penipuan Sulu.
“Mahkamah akan mendengar bantahan dikemukakan pihak yang mengaku sebagai waris Kesultanan Sulu (Para Penuntut) terhadap keputusan Mahkamah Rayuan Paris pada 6 Jun 2023.
“Tahun lalu, Mahkamah Rayuan Paris mengekalkan keputusan membenarkan Malaysia mencabar penghakiman yang diputuskan oleh Dr Gonzalo Stampa yang mendapati beliau salah memutuskan bidang kuasanya.
“Dengan keputusan itu, Malaysia berjaya melindungi kepentingannya di seluruh dunia,” katanya.
Beliau memberitahu, terbaru pada 6 September lalu, Mahkamah Agung Belanda, membuat keputusan memihak kepada Malaysia, dan menolak rayuan yang difailkan oleh pihak berkenaan.
“Malaysia akan terus berjuang melawan penipuan Sulu di bidang kuasa lain yang terbabit, termasuk di Sepanyol dan Luxembourg. Kerajaan Malaysia akan terus memastikan bahawa kedaulatan, keselamatan, dan kepentingan negara dilindungi pada setiap masa,” katanya.
Pada 14 Mac tahun lalu, Mahkamah Rayuan Paris mengekalkan perintah penggantungan yang diperoleh kerajaan Malaysia di Perancis pada 12 Julai 2022 terhadap penguatkuasaan penghakiman itu.
Perintah penggantungan yang diperoleh Malaysia berhubung penguatkuasaan penghakiman itu adalah kekal. – Metra Syahril/WILAYAHKU