Berita

Malaysia akan hubungi negara-negara sehaluan untuk tindakan bersama selepas keputusan ICJ terhadap isu Palestin

Kredit: REUTERS/Piroschka van de Wouw
- Diterbit 24 Julai 2024 7:11 PM MYT

MALAYSIA akan segera menghubungi negara-negara sehaluan untuk tindakan bersama di pentas Forum Antarabangsa, selaras dengan perkembangan terbaru konflik Israel-Palestin, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan itu berkata ia susulan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) baru-baru ini yang memutuskan bahawa pendudukan Israel di wilayah Palestin melanggar undang-undang antarabangsa dan perlu dihentikan.

Beliau berkata Jemaah Menteri mengalu-alukan keputusan ICJ itu yang menuntut sejumlah tindakan diambil Israel, termasuk mengosongkan penempatan haram, di samping membayar pampasan terhadap segala kemusnahan yang telah berlaku.

“Susulan keputusan ICJ ini, Malaysia akan segera menghubungi beberapa negara termasuk Indonesia, Brunei, dan negara-negara yang sepemikiran, serta beberapa organisasi termasuk Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), untuk mengambil tindakan bersama di Forum Antarabangsa seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Majlis Keselamatan PBB (UNSC), dan Majlis Hak Asasi Manusia PBB (UNHRC),” katanya.

Fahmi berkata demikian pada sidang media Mingguan Kabinet di kementeriannya, di sini.

ICJ yang merupakan Mahkamah Tertinggi PBB dalam hujahannya beberapa hari lepas memutuskan bahawa rejim Zionis Israel telah melanggar undang-undang antarabangsa berdasarkan perenggan ke-6 Artikel 49 Konvensyen Geneva ke-4.

Sebelum ini media antarabangsa melaporkan 14 kumpulan Palestin mencapai persetujuan secara praktikal dan terperinci untuk menamatkan perpecahan dan mengukuhkan perpaduan.

Wakil 14 kumpulan itu termasuk dari Fatah dan Hamas telah menghadiri rundingan perdamaian yang berlangsung dari 21 hingga 23 Julai, dan menandatangani Deklarasi Beijing.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menerima kunjungan hormat daripada Pendakwa Raya Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) Karim Khan semalam berkata beliau menekankan bahawa Malaysia menuntut akauntabiliti atas segala jenayah kejam rejim Zionis Israel termasuk penganiayaan terhadap rakyat Palestin khususnya kanak-kanak.

“Malah saya juga menggesa pihak ICC untuk mempercepatkan tindakan demi menegakkan keadilan bagi rakyat Palestin,” katanya dalam hantaran di laman Facebook. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas