MALAYSIA Aviation Group (MAG), syarikat induk Malaysia Airlines memperkenal pesawat pertama badan lebar Airbus 330neo yang menawarkan 297 kerusi meliputi 28 di kelas perniagaan dan 269 kelas ekonomi.
Pengarah Urusan Kumpulan MAG, Datuk Kapten Izham Ismail berkata, ia menandakan transformasi baharu permodenan syarikat penerbangan nasional itu.
Menurut beliau, ia juga sebagai pembuktian transformasi MAG dengan menerapkan era baharu perjalanan udara.
“A330neo ialah pesawat terbaharu yang menyertai armada MAG.
“Sebanyak 20 buah akan dihantar sehingga 2028 menerusi Memorandum Persefahaman yang dimeterai bersama Airbus, Rolls-Royce dan Avolon,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Izham berkata, pesawat itu menampilkan inovasi aerodinamik, bahan termaju selain memberikan pengurangan sehingga 14 peratus dalam penggunaan bahan api dan pelepasan karbon berbanding generasi sebelumnya.
Terdahulu majlis pelancaran pesawat pertama A330neo itu disempurnakan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke di Sepang semalam.
MAG menjadi syarikat penerbangan ke-20 yang menyertai kumpulan operator global pesawat A330neo yang moden dan cekap bahan api.
Setakat ini, Airbus telah menyerahkan lebih daripada 140 pesawat A330neo kepada syarikat penerbangan di seluruh dunia, menjadikan model ini sebagai pilihan yang tiada tandingan dalam kelasnya. – WILAYAHKU