Berita

Malaysia, 123 negara undi sokong resolusi tamatkan pendudukan haram Israel

- Diterbit 19 September 2024 10:27 AM MYT

MALAYSIA dan 123 negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah mengundi untuk menyokong resolusi Perhimpunan Agung PBB (UNGA) berkaitan kesan perundangan yang timbul daripada dasar dan amalan Israel di Wilayah Pendudukan Palestin (OPT).

Menurut kenyataan Wisma Putra, resolusi bertajuk ‘Pendapat Nasihat Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ)’ berkaitan perkara itu turut merangkumi Baitulmuqaddis Timur serta ketidaksahan kehadiran berterusan rejim zionis di OPT.

Katanya, resolusi yang diterima pakai di sesi tergempar khas ke-10 UNGA kelmarin bertujuan melaksanakan keputusan ICJ bertarikh 19 Julai lalu.

“Ia antara lain menekankan tanggungjawab bersama dan obligasi undang-undang semua negara dan pertubuhan antarabangsa untuk menamatkan pendudukan haram Israel di Palestin dan menyersu keadilan bagi rakyat Palestin,” katanya.

Wisma Putra memberitahu, Malaysia menggesa masyarakat antarabangsa melaksanakan resolusi tersebut dengan kadar segera dan secara penuh.

Ini katanya, demi hak rakyat Palestin untuk menetukan nasib sendiri, memelihara kedaulatan dan keutuhan wilayah dan mencapai pembangunan sosioekonomi mereka.

“Resolusi ini mengesahkan pendirian Malaysia terhadap isu Palestin yang telah lama berlarutan.

“Malaysia berpegang teguh kepada prinsip bahawa rakyat Palestin berhak mendapat sebuah negara yang merdeka dan berdaulat berdasarkan persempadanan pra-1967 dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negara,” katanya. – Metra Syahril/WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas