Oleh KU SEMAN KU HUSSAIN
MALAM ulang tahun kemerdekaan negara meninggalkan kenangan yang sangat manis dalam hidup saya. Sejak berusia enam tahun lagi istilah ‘merdeka’ sudah tertanam dalam ingatan apabila arwah ayah sering membawa saya ke Padang Bandaran Kangar untuk melihat sambutan ulang tahun kemerdekaan.
Ketika itu dalam kalangan orang kampung hanya menyebut ‘malam sambut merdeka’ sahaja yang merujuk acara sambutan ulang tahun kemerdekaan pada malam menjelang 31 Ogos setiap tahun. Bagaimanapun waktu itu saya belum faham erti merdeka, hanya tertarik pada ‘malam sambut merdeka’ kerana kemeriahan sahaja.
Suasana seperti itu adalah satu-satunya yang ada pada zaman itu – awal 1960-an di Perlis. Selain itu sekadar kemeriahan malam menjelang dan selepas kenduri kahwin di kampung kerana adanya dengan persembahan Gendang Terinai, Awang Batil atau Wayang Kulit. Itulah sahaja acara kemeriahan yang ada.
Bagaimanapun kemeriahan ‘malam sambut merdeka’ jauh lebih besar dan banyak pula pengunjungnya. Sebagai kanak-kanak yang membesar dengan pelita minyak tanah, gemerlapannya lampu yang berwarna-warni di Padang Bandaran Kangar adalah suatu yang sangat luar biasa dan amat mempesona. Itu belum lagi pertunjukan bunga api yang hanya boleh disaksikan pada acara setahun sekali itu sahaja.
Masih kekal dalam ingatan, saya duduk di palang depan basikal dan ayah mengayuh lebih kurang 12 kilometer dari rumah ke Kangar. Sepanjang perjalanan ayah selalu bercerita tentang merdeka. Tetapi saya tidak dengar sangat kerana lebih teruja dengan pemandangan di kiri dan kanan jalan menuju ke Kangar. Hanya sesekali mendengar ayah menyebut perkataan ‘Tunku’ , ‘orang putih’ dan ‘Sukarno’.
Setiap tahun apabila terdengar banyak sebutan ‘merdeka’ di radio, saya sudah dapat mengagak bahawa tidak lama selepas itu tentu ada ‘malam sambut merdeka’ di Kangar. Tekaan saya selalu benar dan ayah hampir tidak pernah mungkir membawa saya menyaksikan malam yang sangat meriah itu.
Dalam keriuhan di Padang Bandaran Kangar, beberapa kali juga saya mendengar ucapan seorang yang bernama Pak Sheikh di pentas besar di tengah padang. Saya tidak tahu siapa Pak Sheikh, tetapi tentulah orang besar-besar kerana berucap di tengah-tengah orang ramai.
Detik 12 tengah malam
Selepas bersekolah rendah barulah saya tahu bahawa ‘Pak Sheikh’ itu adalah Datuk Sheikh Ahmad bekas Menteri Besar Perlis. Saya juga mulai memahami dengan lebih dalam mengenai kemerdekaan. Guru-guru juga banyak bercerita tentang sejarah ringkas perjuangan rakyat hingga negara mencapai kemerdekaan. Semakin jelas siapa ‘Tunku’ yang kerap diberitahu ayah kepada saya. Beliau adalah Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri pertama negara ini.
Pada hari Ahad minggu terakhir setiap Ogos pula diadakan perhimpunan di depan sekolah. Saya dan murid-murid lain menyanyikan lagu Negaraku kemudian diikuti dengan beberapa lagu patriotik yang lain. Antara lagu yang tidak pernah luput di ingatan saya adalah Tanah Pusaka, Malaysia Tanah Airku dan Putera Puteri.
Lama selepas itu barulah saya tahu bahawa lagu-lagu itu dicipta oleh pencipta lagu patriotik tersohor, Johar Bahar. Beliau banyak mencipta lagu-lagu yang bercorak perjuangan. Salah satu lagunya adalah Selamat Tinggal Bungaku yang dicipta pada tahun 1948 dan merupakan sebuah lagu roman perjuangan yang sangat berpengaruh pada zaman penjajah.
Pada 1984 ketika mula bekerja di Kuala Lumpur, saya berpeluang menyaksikan acara sambutan menjelang ulang tahun kemerdekaan di Padang Kelab Selangor (sekarang Dataran Merdeka). Itulah kali pertama melihat acara menunggu detik 12 malam pada 31 Ogos 1984 di menara jam Bangunan Sultan Abdul Samad.
Apabila jarum jam besar menunjukkan pukul 12.01 malam, semua pengunjung bertepuk sorak sambil melaungkan ‘merdeka! merdeka! merdeka!’ Sambutan di Padang Kelab Selangor itu berkali ganda lebih besar berbanding sambutan ‘malam sambut merdeka’ di Padang Bandaran Kangar ketika saya masih kanak-kanak.
Ketika itu saya berdiri di tepi Padang Kelab Selangor yang menjadi tempat bersejarah turunnya bendera penjajah, Union Jack pada pukul 12.01 malam 31 Ogos 1957. Kemudian diganti dengan bendera Persekutuan Tanah Melayu sebagai simbolik terlepasnya negara ini daripada cengkaman penjajah.
Ayah juga pernah berimpian untuk datang menyaksikan turunnya bendera Union Jack itu. Bagaimanapun ayah tidak dapat bersama-sama kawan-kawannya dalam barisan penentang Malayan Union di Perlis ke Kuala Lumpur kerana kekangan kewangan.
Kemudian pada esoknya iaitu 31 Ogos 1984, diadakan perbarisan dan perarakan yang paling besar yang pernah saya saksikan di sepanjang Jalan Raja depan Bangunan Sultan Abdul Samad. Ketika berada di tepi Jalan Raja dan menyaksikan perbarisan itu membuatkan saya segera teringat ayah yang jauh di kampung. Ayah tentunya menjadi orang paling gembira sekiranya berpeluang menyaksikan perarakan dan perbarisan pada pagi 31 Ogos itu.
Pagi itu saya melihat acara sambutan ulang tahun kemerdekaan yang ke-27 itu dengan mata ayah, orang pertama yang memahamkan saya tentang kemerdekaan yang diperjuangkan oleh rakyat jelata ketika masih kanak-kanak. Malah rakyat jugalah yang bangkit menentang Malayan Union hingga gagasan British itu terpaksa dibatalkan.
Esok (31 Ogos 2024) kita menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-67 dan itu bermakna sepanjang garis masa berkenaan secara rasmi atau ‘di atas kertas’ kita sudah merdeka daripada belenggu penjajah. Sekalipun begitu kemerdekaan yang sebenar tidak boleh disukat dengan sesuatu yang berbentuk angka. Hal itu kerana kemerdekaan yang sebenarnya adalah apabila kita boleh berfikir dengan merdeka terhadap semua sesuatu yang berkaitan kepentingan negara.
Pada zaman kanak-kanak dulu saya amat terpesona dengan kemeriahan dan lampu-lampu yang gemerlapan pada ‘malam sambut merdeka.’ Tetapi pada masa kini, saya dihujani persoalan, apakah kita sudah cukup mengisi makna kemerdekaan selepas 67 tahun Union Jack diturunkan di Padang Kelab Selangor.
Pada era neokolonialisme ini, penjajahan terus berlaku tetapi dalam bentuk yang baharu dan menggunakan kuasa lunak (soft power) – misalnya melalui budaya, seni dan gaya hidup. Kemerdekaan menjadi tidak bermakna sekiranya kita kurang mengambil endah terhadap penjajahan dalam bentuk yang amat mempersona itu.
Sambutan ulang tahun kemerdekaan negara tidak sekadar acara tahunan dan kita hanya tertunggu-tunggu untuk menikmati hari cuti umum pada setiap 31 Ogos saban tahun. Sebaliknya setiap kali 31 Ogos itu adalah jam loceng yang mengejutkan kita dari lena.
Semoga generasi hari ini tidak seperti saya yang tertunggu-tunggu kemeriahan acara ‘malam sambut merdeka’ ketika masih kanak-kanak suatu waktu dulu. Makna kemerdekaan semestinya jauh lebih besar dan utama daripada semua kepentingan peribadi dan kebendaan.