TUDUHAN demi tuduhan yang dilemparkan kepada pihak kerajaan yang dikatakan tidak cakna dengan rintihan rakyat dilihat agak keterlaluan.
Malah ada yang turut mendakwa, aduan yang dibuat hanya sekadar ‘syarat’ namun sebaliknya pihak kerajaan tidak pernah mengambil tahu bebanan yang ditanggung rakyat.
Tidak dinafikan penyasaran subsidi diesel baru-baru ini merupakan antara sebab golongan ini berpandangan sebegitu rupa.
Jika diteliti sebaiknya, pelbagai bentuk bantuan telah pun disalurkan dan bakal dinikmati rakyat antaranya Sumbangan Tunai Rahmah (STR) yang merupakan insentif paling memberi manfaat.
Untuk itu, baru-baru ini Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil mahu Pusat Panggilan Kerajaan Malaysia (MyGCC) merekodkan data jumlah panggilan dan persoalan yang diterima daripada orang ramai berkaitan isu subsidi diesel yang baru dikuatkuasakan.
Beliau berkata data berkenaan diminta untuk dibentangkan dalam Mesyuarat Pasca-Kabinet.
“Di pihak kementerian, kita akan teliti sekiranya ada perkara-perkara yang konsisten dibangkitkan (berkenaan isu subsidi diesel), kita akan panjangkan kepada kementerian berkaitan dan Jemaah Menteri,” katanya.
Fahmi pada masa yang sama juga mahu MyGCC dapat menjawab persoalan dibangkitkan pemanggil mengenai isu subsidi diesel dengan baik, tuntas dan ringkas.
MyGCC merupakan pusat sehenti dengan nombor tunggal, 03-8000 8000, yang menjadi gerbang komunikasi menghubungkan rakyat dengan agensi-agensi kerajaan.
MyGCC menawarkan perkhidmatan penerimaan pertanyaan, aduan, bantuan pemindahan talian, cadangan dan maklum balas rakyat melalui saluran panggilan, Chatbot, Sistem Pesanan Ringkas (SMS), e-mel dan media sosial (Facebook, Instagram, Twitter) beroperasi 24 jam sehari dan tujuh hari seminggu. – WILAYAHKU