Berita

‘Makin banyak shelter home, makin ramai orang buang kucing, mereka ambil kesempatan’ – Penyelamat kucing

- Diterbit 11 Ogos 2024 12:19 PM MYT

SEPASANG suami isteri sanggup menjadikan kediaman mereka di Ampang, Selangor,  untuk menempatkan kucing-kucing terbiar, sejak 20 tahun lalu.

Siti Khadijah Mohd Hassan, 54 dan suaminya Azman A. Hamid, 59 yang merupakan pemilik Khaty Cats House, pernah mempunyai hampir 150 ekor kucing dalam satu masa.

SITI Khadijah bersama suaminya, Azman.

Usaha yang dilakukan mereka ini turut menjadi inspirasi kepada pihak lain untuk mewujudkan pusat jagaan dan perlindungan kucing atau ‘shelter home’.

Namun, apa yang dikesalkan adalah terdapat segelintir masyarakat yang tidak bertanggungjawab gemar membuang kucing untuk dibela di ‘shelter home’.

“Ada yang suka mengambil kesempatan untuk melepaskan tanggungjawab dengan membuang kucing di merata-rata tempat. Alasan mereka amat mudah, ‘shelter home’ kan ada’.

“Apa yang saya boleh cakap, makin banyak shelter home, makin ramai orang buang kucing. Macam jadi satu budaya pula,” katanya kepada Wilayahku.

Khadijah ditemui di Karnival Kucing Madani, di Institut Latihan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), hari ini.

Karnival ini berlangsung pada 10 Ogos dan berakhir hari ini.

SUASANA di Karnival Kucing Madani

Menurut Khadijah, antara matlamat ‘shelter home’ diwujudkan adalah untuk mendidik serta memupuk rasa tanggungjawab masyarakat dalam menyayangi kucing.

“Janganlah ambil peluang, apabila ada banyak ‘shelter home’, mereka boleh buang kucing sesuka hati mereka. Janganlah lepaskan tanggungjawab.

“Kalau mereka bagi alasan mahu buang kucing kerana kos makanan dan pengurusan, buang kucing bukan cara penyelesaiannya.

“Antara cara yang betul adalah memandulkan kucing tersebut. Ini kerana  banyak kebaikannya seperti merendahkan risiko pelbagai penyakit  kanser, jangkitan bakteria, jangkitan kelamin, penyakit pundi kencing dan banyak lagi.

“Kucing yang dimandulkan juga lebih sihat, stabil dari segi hormon dan emosi kerana organ pembiakannya dibedah keluar.

“Jadi kucing pun sihat dan pemilik tidak lagi rasa terbeban. Buang bukanlah alasan. Itu adalah helah mereka mahu melepaskan tanggungjawab,” ujarnya.

Khadijah juga membuka peluang kepada orang ramai yang mahu menjaga kucing-kucing yang sudah dirawat. – WILAYAHKU

To enable full Instagram embedding experience, please add your access token by navigating to: Dashboard > EmbedPress > Settings > Sources > Instagram

==

 

 

 

 

 

 

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas