PENGUSAHA Restoran Sahabat di Jalan Chow Kit Kuala Lumpur, Wan Kamariah Daud, 68, menzahirkan rasa syukur dan terima kasih kepada Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) yang menyumbangkan dapur bagi memudahkan urusan perniagaannya.

Ujarnya, dengan adanya dapur baharu, urusan perniagaannya seperti memasak juadah dan kuih muih menjadi lebih mudah dan cepat.
“Saya sudah menggunakannya selepas diberikan yayasan pada 26 November lalu.
“Bukan hanya mempercepatkan kerja-kerja memasak kerana mempunyai tiga dapur, malah ia mudah dibersihkan selain jimat tenaga kerja,” katanya ketika dihubungi Wilayahku pada Selasa.
Menurutnya yang lebih dikenali sebagai Mak Wan, sebelum ini, dia menggunakan dapur memasak yang hanya
mempunyai satu tungku sahaja.
Ekoran itu, katanya, kerja-kerja memasak mengambil masa yang lama berbanding sekarang yang mana tiga juadah boleh dimasak dalam satu masa.
Tambahnya, selain berniaga kecil-kecilan dengan membuat kuih sejuk beku, dia turut menyediakan makanan tengah hari untuk golongan gelandangan.
Dalam pada itu, YWP memaklumkan, sumbangan diserahkan menerusi Bahagian Pembangunan Komuniti sejajar dengan inisiatif dan prihatin bagi membantu meringankan beban mereka yang terkesan di sekitar Wilayah Persekutuan