MAJLIS Tindakan Pembangunan Lembah Pantai yang dianjurkan semalam menjadi platform terbaik bagi mengumpulkan pelbagai pihak, kata Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.
Ahli Parlimen Lembah Pantai itu berkata Majlis Tindakan Pembangunan kawasannya itu adalah pertama kali dilaksanakan di peringkat Parlimen.
Jelasnya, program itu diadakan bagi mengetengahkan agenda pembangunan dan usaha-usaha melestarikan kawasan Parlimen Lembah Pantai.
“Majlis tindakan ini menjadi platform terbaik bagi mengumpulkan pelbagai pihak seperti pemaju, pemimpin dan penduduk setempat serta pakar bagi membincangkan isu dihadapi oleh komuniti setempat dalam aspek pembangunan,” katanya di Facebook.
Sementara itu, Fahmi berkata minit-minit mesyuarat majlis ini juga beliau akan panjangkan kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri TPr Dr Maimunah Mohd Sharif dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa.
Beliau berkata ini bagi tujuan pertimbangan isu yang telah dibincangkan sepanjang mesyuarat itu.
“Insya-Allah, saya berharap setiap tahun Majlis Tindakan Pembangunan Lembah Pantai ini dapat diadakan beberapa kali.
“Ini untuk kita teliti perkara-perkara yang berbangkit untuk diselesaikan terutamanya dalam soal pembangunan,” katanya. – WILAYAHKU