MAJLIS Menteri Wilayah Persekutuan yang bersidang buat kali ketiga tahun ini telah membincangkan sebanyak 18 isu berbangkit dengan fokus utama diberikan kepada kesejahteraan dan keharmonian penduduk di Kuala Lumpur.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata salah satu isu utama yang dibangkitkan adalah berkaitan kepadatan penduduk yang semakin meningkat.
Tambah Zaliha, isu lain dibangkitkan seperti kekangan kapasiti kemudahan awam, khususnya sekolah yang berkemungkinan tidak mampu menampung pertambahan populasi Kuala Lumpur pada masa akan datang.
Beliau berkata, selaras dengan Pelan Struktur 2040 (PSKL 2040), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur akan mengadakan sesi Focus Group Discussion (FGD) pada 11 hingga 13 September 2024.
“(Sesi itu) yang bertujuan untuk merangka Garis Panduan Perancangan Kemudahan Masyarakat ke arah Pembangunan Berintegrasi dan Bersepadu di Kuala Lumpur dengan penglibatan pelbagai agensi untuk mengemukakan isu dan cadangan yang berkaitan.
“Garis panduan ini adalah penting untuk memastikan kemudahan awam seperti sekolah, klinik dan taman sentiasa sejajar dengan pembangunan serta pertambahan populasi di bandar raya ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Mengulas lanjut, Zaliha berkata setelah selesainya garis panduan itu, setiap pembangunan baru perlu mematuhi garis panduan yang lebih tegas dan bersepadu.
Beliau berkata ini tanpa mengenepikan kepentingan dan keperluan penduduk setempat.
Sementara itu Zaliha berkata, dalam mesyuarat tersebut juga isu peruntukan DBKL kepada Ahli Parlimen untuk projek-projek kecil bagi manfaat rakyat turut dibangkitkan.
Beliau berkata bagi tahun 2024, setiap pejabat cawangan DBKL telah menerima peruntukan antara RM300,000 hingga RM500,000.
“Ini bagi melaksanakan pelbagai aktiviti pembangunan sosial dan menaik taraf infrastruktur awam seperti dewan, jalan raya, parit serta taman di sekitar Kuala Lumpur.
“Penekanan juga diberikan kepada keperluan untuk menambah baik kaedah penyaluran peruntukan ini agar lebih strategik dan efektif,” katanya.
Zaliha berkata DBKL bertanggungjawab untuk memastikan setiap peruntukan digunakan secara optimum.
Katanya, manakala laporan audit dan pemantauan berkala perlu dilaksanakan oleh DBKL untuk mengelakkan pembaziran dan memastikan keberkesanan pelaksanaan projek.
“Sebagai langkah susulan, DBKL diminta untuk menyegerakan pelaksanaan cadangan-cadangan yang dibincangkan serta melaporkan perkembangannya kepada saya secara berkala.
“Kerjasama erat dan tindakan pantas daripada semua pihak adalah kunci bagi memastikan Kuala Lumpur terus membangun sebagai sebuah bandar raya yang sejahtera, mampan dan harmoni untuk penduduknya,” katanya. – WILAYAHKU