Berita

MAIWP salur RM120 juta bantu asnaf

NIZAM (tengah) menerima plak cenderahati daripada Jainuddin pada Majlis Kunjungan Hormat ke MAIWP.
- Diterbit 9 Disember 2024 4:07 PM MYT

MAJLIS Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) telah memperuntukkan sejumlah RM120 juta bagi tempoh setahun menerusi 38 skim sedia ada kepada asnaf di pulau bebas cukai ini.

Menurut Pemangku Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mohd Nizam Yahya, meskipun peruntukan yang disalurkan melebihi sasaran kutipan zakat di wilayah itu iaitu sebanyak RM15 juta, pihaknya sentiasa memberikan keutamaan kepada golongan asnaf yang memerlukan bantuan.

Katanya, MAIWP memfokuskan kepada pembangunan asnaf yang mana ia menyediakan bantuan untuk golongan berkenaan di samping memberi dorongan untuk mereka bangkit mengubah nasib tanpa mengharapkan bantuan semata-mata.

“Asnaf belia juga antara yang diberikan perhatian untuk dibangunkan dengan pelbagai program pendidikan dengan jaminan peluang pekerjaan selepas pengajian,” katanya pada Lawatan Pengamal Media Labuan ke Menara MAIWP di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Penerangan Labuan Azman Sipan; Timbalan Pengarah Penyiaran Labuan Fauziah Sidek dan Pengerusi Persatuan Penggiat Media Labuan, Jainuddin Djimin,

Mengulas lanjut, Mohd Nizam berkata pihaknya menzahirkan penghargaan kepada pihak media yang sentiasa membantu MAIWP khususnya dalam menyebarluaskan maklumat dan informasi kepada masyarakat mengenai gerak kerja serta perkhidmatan bantuan yang disediakan bagi memastikan umum mengetahui tindakan serta pelaksanaan yang dijalankan oleh agensi itu.

Katanya, dengan kerjasama yang terjalin itu mampu memberikan impak positif khususnya kepada pihaknya dalam menepis pelbagai tohmahan yang tidak berasas oleh segelintir pihak yang cuba mempertikaikan pengurusan MAIWP dalam pengagihan zakat yang dilaksanakan.

“MAIWP amat berterima kasih kepada media terutamanya kepada Persatuan Media Labuan yang sentiasa memberikan kerjasama yang erat dan membantu MAIWP dalam menjayakan pelbagai majlis, program dan sebagainya.

“Saya mewakili MAIWP berharap kerjasama ini akan terus terjalin agar kedua-dua pihak dapat bersama-sama membantu golongan asnaf yang memerlukan bantuan bukan sahaja di Kuala Lumpur dan Putrajaya malahan di Labuan,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas