Berita

MAIWP bentang tujuh resolusi santuni golongan miskin bandar

- Diterbit 24 Disember 2020 8:17 AM MYT

PERSIDANGAN Meja Bulat dianjurkan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) hari ini membentangkan tujuh resolusi yang bermatlamat menyantuni golongan miskin bandar di tiga wilayahnya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata resolusi berkenaan bakal diperhalusi sebelum dilaksanakan menerusi projek perintis dalam masa terdekat.

“Insya-Allah (resolusi akan dibentangkan ke Kabinet) sekitar Januari tahun depan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan sesi persidangan meja bulat itu di sini hari ini.

Zulkifli berkata adalah penting untuk menilai semula tahap dan mengenal pasti punca kemiskinan dengan lebih kerap susulan perubahan situasi terutama selepas negara dilanda COVID-19.

Persidangan Meja Bulat bertemakan ‘Menyantuni Kemiskinan Bandar’ itu dipengerusikan Ahli MAIWP Tan Sri Dr Abdul Aziz Abdul Rahman, bertujuan mengkaji dan meneliti keberkesanan agihan bantuan yang lebih mampan dan bersistematik agar sampai kepada golongan sasar.

Antara resolusi dibaca dan dibentangkan Abdul Aziz ialah untuk mewujudkan pangkalan data penerima bantuan berpusat (Big Data Analytic) yang boleh dicapai oleh semua agensi supaya agihan bantuan dapat diselaraskan.

Resolusi lain termasuk menjalinkan kerjasama strategik antara agensi kerajaan, swasta dan sukarelawan dalam mengagihkan bantuan kepada golongan sasar supaya tiada pertindihan, keciciran serta lebih efisien dan produktif.

Resolusi itu turut menyatakan agar tahap kemiskinan dikaji semula daripada pelbagai dimensi dan diukur berdasarkan jumlah pendapatan keluarga dan mengambil kira kadar kecukupan sara hidup keluarga dalam sebulan.

Abdul Aziz berkata resolusi lain ialah membangunkan kawasan di sekitar masjid berkonsepkan ‘Islamic City’ yang mengandungi komponen pembangunan seperti pusat perniagaan serta perumahan untuk asnaf, B40 dan mualaf untuk menaikkan taraf hidup mereka.

Selain itu, beliau berkata punca utama kemiskinan juga perlu dikenal pasti selain menggunakan instrumen wakaf dalam membasmi kemiskinan. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas