Berita

Maimunah pegang prinsip 4P tadbir Kuala Lumpur

MAIMUNAH (tengah) ketika merakamkan waktu masuk kerja pertama di Menara DBKL.
- Diterbit 23 Ogos 2024 7:37 PM MYT

DATUK Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri TPr Dr Maimunah Mohd Sharif memegang prinsip 4P (Public, Private, People, Partnership) dalam urusan pentadbiran beliau sebagai peneraju bandar raya Kuala Lumpur.

Menurut Maimunah, beliau amat percaya kepada proses rakyat dan prinsip perkongsian awam, swasta dan rakyat.

“Justeru, buat masa ini saya ingin mendengar semua rakyat Malaysia, warga Kuala Lumpur, pihak berkepentingan dan rakan sekerja saya untuk memahami dan menggalas cabaran ini.

“Saya berharap mendapat kepercayaan anda supaya bersama-sama boleh menjadikan Kuala Lumpur sebagai sebuah bandar pintar yang berdaya tahan, mampan dan berpaksikan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikan pada satu sidang akhbar selepas merakam waktu masuk kerja pertama selaku Datuk Bandar Kuala Lumpur di Menara DBKL baru-baru ini.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyerahkan surat pelantikan kepada Maimunah bagi menjalankan tugas sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur baharu menggantikan Datuk Seri PMgr Sr Kamarulzaman Mat Salleh.

Pelantikan berkenaan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, selaras dengan Subseksyen 4(2), Akta Ibu Kota Persekutuan 1960.

Beliau dilantik sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur ke-15 berkuat kuasa pada 15 Ogos lepas.

Maimunah turut berkongsi hasil pertemuan beliau dengan Perdana Menteri baru-baru ini, bahawa cita-citanya untuk bekerjasama bagi meningkatkan imej global Kuala Lumpur berikutan Malaysia akan mempengerusikan ASEAN 2025.

“Amat penting untuk menjadikan Kuala Lumpur sebagai bandar budaya dan kreativiti, bukan hanya ditumpukan kepada pembangunan terancang serta mampan semata-mata.

“Usaha berterusan perlu dilaksanakan bagi menjadikan Kuala Lumpur sebagai ibu kota yang mengekalkan warisan, identiti budaya, maju dalam pembangunan ekonomi tempatan yang dapat menarik pelabur.

“Kita mesti memastikan dapat melindungi mata pencarian, meningkatkan kualiti hidup dan menjadikan bandar ini lebih berdaya tahan terhadap iklim ekstrem,” katanya.

Sementara itu, Maimunah turut memberi amaran bahawa tiada tolak ansur atau sifar toleransi terhadap rasuah.

Menurut Maimunah, beliau mahu menjadikan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sebagai pihak berkuasa tempatan (PBT) yang lebih berintegriti, berakauntabiliti dan telus.

“Ia sangat penting untuk kita menjaga integriti, akauntabiliti serta telus dalam menjalankan tugas supaya lebih eifisien dan efektif,” katanya.

Tambah Maimunah, beliau turut mengharapkan kerjasama daripada semua pihak termasuk kakitangan DBKL dalam memerangi gejala rasuah secara habis-habisan.

“Saya difahamkan terdapat kes membabitkan pegawai dan penguat kuasa DBKL.

“Saya telah berbincang dan memberikan arahan kepada semua kakitangan DBKL untuk bantu saya, saya seorang tidak boleh melakukannya.

“Saya juga meminta ketua-ketua jabatan dan pengarah eksekutif untuk pantau dan beri pendidikan selain bekerjasama dengan rakan agensi lain seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” ujarnya.

Jelas Maimunah, beliau mahu menjadikan DBKL sebagai sebuah PBT yang berintegriti tinggi justeru tidak akan bertoleransi terhadap jenayah rasuah.

“Kita mendidik bahawa gejala rasuah itu adalah salah, kemudian kita ambik tindakan, tapi kalau sampai satu tahap, membimbangkan saya tidak teragak-agak untuk ambil tindakan, sebab kita ingin jadikan DBKL satu PBT yang berintegriti tinggi.

“Ia juga berbalik kepada kesedaran individu, sebab bila ambil rasuah sekali, ia akan mengulangi perbuatan tersebut, sebab jati diri itu hilang.

“Saya beri amaran keras, jangan ambil rasuah, saya tidak akan teragak-agak untuk ambil tindakan jika ada bukti sah,” tegasnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas