PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Datuk Seri TPr Dr Maimunah Mohd Sharif yang akan memulakan tugas secara rasmi sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur esok layak galas amanah kemudi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Beliau percaya kepada Maimunah berdasarkan pengalaman selama hampir empat dekad dalam perancangan bandar dan pembangunan komuniti tatkala mengetuai pelbagai institusi sama ada di dalam mahupun luar negara.
Anwar berkata beliau hari ini menyerahkan surat pelantikan kepada Maimunah yang bakal menjalankan tugas sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur yang baharu bermula esok.
Beliau berkata pelantikan Maimunah telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim selaras dengan Subseksyen 4(2), Akta Ibu Kota Persekutuan 1960.
“Pengalamannya sebagai Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Seberang Perai, serta pernah menjadi Presiden Persatuan Pihak Berkuasa Tempatan Malaysia (MALA).
“Lebih membanggakan, beliau juga pernah dilantik sebagai Pengarah Eksekutif Persidangan Program Penempatan Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN-Habitat) yang berpusat di Nairobi, Kenya, satu-satunya wanita Asia yang memegang jawatan ini,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Anwar berharap pengalaman hebat yang dimiliki itu akan digunakan untuk memperbaiki taraf kehidupan warga Kuala Lumpur serta mengangkat imej, reputasi dan martabat bandaraya ini ke peringkat lebih tinggi.
Pelantikan Maimunah, 63, sebagai sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur yang baharu berkuat kuasa esok bagi menggantikan Datuk Seri PMgr Sr Kamarulzaman Mat Salleh yang bersara wajib. – WILAYAHKU