Atlet Wilayah

Mahu pikat kelab antarabangsa, Muqri tekad terus ledak gol

AKSI Mulhim Muqri ketika Malaysia Premier Futsal League baru-baru ini
- Diterbit 22 Disember 2023 11:00 AM MYT

GENAP 14 tahun berkecimpung dalam dunia futsal, atlet, Mulhim Muqri Faisal, 25, tekad untuk menjaringkan lebih banyak gol di pentas Malaysia Primier Futsal League (MPFL) supaya namanya terus mendapat perhatian pengendali skuad kebangsaan, Rakphol Sainetngam.

“Selepas ini, lebih banyak lagi kejohanan yang saya akan sertai sekali gus dapat mengukur pencapaian diri dalam sukan sekali gus menjadi medan untuk memperbaiki prestasi.

“Selain itu, saya juga berharap skuad berpeluang ke luar negara untuk kejohanan yang lebih besar. Melalui itu juga, kami dapat mencari pengalaman bermain serta melihat strategi atlet luar mereka,” ujarnya kepada Wilayahku.

Dalam masa sama, atlet yang mula bergiat aktif ketika berumur 11 tahun ini berkata dia banyak berbincang mengenai konsep taktikal dan teknikal bersama rakan sepasukan sebelum berdepan dengan pihak lawan.

“Biasanya kami akan menghabiskan masa dengan sesi perbincangan selain menjalani latihan dengan lebih konsisten menjelang perlawanan,” ujarnya yang mengakui semangat berpasukan yang tinggi dalam kalangan rakan sepasukan amatlah penting.

Berkongsi tentang cabaran yang dihadapi dalam sukan futsal, pelajar Diploma Pengurusan Peruncitan Politeknik Metro Kuala Lumpur ini berkata persaingan dengan pemain-pemain yang hebat dan berpengalaman menjadi cabaran utama buat dirinya.

“Bukan itu sahaja, jika dilihat hari ini, ramai pemain muda menunjukkan prestasi bagus dari hari ke hari. Sungguhpun begitu, secara tidak langsung ia mengingatkan saya untuk tidak cepat berasa selesa pada kedudukan sekarang.

“Walau apa pun setakat ini, masa hadapan dunia futsal cerah dan sudah semestinya saya akan memberikan yang terbaik untuk kekal relevan. Saya turut mengimpikan peluang untuk beraksi bersama kelab futsal luar negara suatu hari nanti,” ujarnya yang menjadikan pemain kelab Portugis, Ricardinho sebagai idola kerana kekuatan pemain antarabangsa tersebut yang lincah dan mempunyai tendangan padu.

Atlet kelahiran Selayang, Selangor ini berkata dia bersyukur kerana keluarga tidak pernah menghalang malah sentiasa memberi semangat kepadanya.

“Alhamdulillah, jiwa saya memang sejak kecil lagi meminati sukan ini dan dapat merasakan masa hadapan yang cerah untuk terus berada dalam sukan futsal,” ujar anak ketiga daripada lapan orang adik-beradik ini. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas