MALAYSIA Airports Holdings Bhd (MAHB) telah menyiapkan pembangunan fasa interim Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Subang dengan peningkatan kapasiti kepada tiga juta penumpang setahun (mppa).
Menurut Kementerian Pengangkutan (MoT), ia ditingkatkan berbanding 1.5 juta penumpang setahun.
Jelasnya, antara syarikat penerbangan yang telah memulakan operasi pesawat di LTSAAS adalah AirAsia, FireFly, Scoot Airlines, Batik Air dan Transnusa Airlines.
“Pada masa ini, pergerakan trafik udara khususnya operasi jet dihadkan kepada satu penerbangan untuk setiap satu jam, tempoh operasi dari pukul 6 pagi hingga 10 malam dengan kelulusan sebanyak 15 slot sehari,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Negara.
Kementerian itu menjawab soalan Senator Datuk Seri SV Vell Paari mengenai perancangan memastikan operasi LTSAAS berjalan dengan lancar.
Jelas MoT, bagi memastikan operasi di LTSAAS sentiasa berada di tahap yang optimum, pihak MAHB telah mengambil langkah proaktif dalam melaksanakan beberapa penambahbaikan.
Ia katanya, penambahan lima buah kaunter Imigresen di Balai Ketibaan dan sebuah kaunter di Balai Pelepasan; penambahan dua carousel tuntutan semula bagasi selain penambahan 10 pegawai Aviation Security (AVSEC).
Tambahnya, lain-lain penambahbaikan adalah menaik taraf Bilik Orang Kenamaan (VIP Room) yang dikenali sebagai Fixed Based Operator (FBO) Lounge bagi memenuhi permintaan penumpang pesawat peribadi atau perniagaan; dan penambahan 14 parkir pesawat iaitu enam parkir untuk jet, enam parkir untuk pesawat jenis ATR dan dua untuk pesawat jenis Twin Otter.
“Selanjutnya, bagi mengatasi kesesakan di kaunter Imigresen, pihak Jabatan Imigresen mempunyai perancangan untuk memasang sebuah autogate di Pintu Pelepasan dan sebuah autogate di Pintu Ketibaan,” katanya. – WILAYAHKU