MALAYSIA Airports Holdings Bhd (MAHB) akan kekal beroperasi sebagai aset strategik negara meskipun setelah diswastakan nanti.
Untuk itu Kementerian Kewangan (MoF) sekali lagi menegaskan bahawa kerajaan tidak menjual saham di dalam MAHB.
Sebaliknya jelas MoF, syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat pelaburan kerajaan (GLC) iaitu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan UEM Group Berhad (UEM) (anak syarikat Khazanah Nasional Berhad) akan meningkatkan pegangan saham terkumpul di dalam MAHB daripada 41 peratus kepada 70 peratus.
“Peranan MAHB kekal terhad kepada pengoperasian lapangan terbang di bawah seliaannya, yang mana kesemua 39 lapangan terbang di Malaysia tersebut kekal berada di bawah pemilikan kerajaan, seperti yang termaktub di dalam Perjanjian Pengoperasian.
“Selain itu, kerajaan juga menegaskan bahawa tidak akan ada kompromi dalam isu keselamatan negara meskipun setelah pengambilalihan ini dimuktamadkan,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.
MoF menjawab soalan mengenai status terkini penjualan saham MAHB dan langkah kerajaan memastikan kepentingan strategik negara terus terpelihara.
Pada 4 Februari lalu, Konsortium Gateway Development Alliance Sdn. Bhd. (GDA) yang diterajui oleh UEM dan KWSP mengumumkan ia telah berjaya mencatatkan kadar penerimaan yang sah sebanyak 96.74 peratus daripada para pemegang saham MAHB di bawah tawaran pengamblialihan tersebut.
Ia sekali gus memenuhi syarat penerimaan tawaran dan menjadikan tawaran tersebut tidak lagi bersyarat atau ‘unconditional’.
Oleh kerana GDA telah memiliki lebih daripada 90 peratus saham MAHB dan tidak berhasrat untuk mengekalkan status penyenaraian MAHB di Pasaran Utama, urus niaga dagangan saham MAHB akan dihentikan pada 20 Februari ini, iaitu lima hari dagangan setelah tarikh akhir penerimaan tawaran yang dijadualkan pada 12 Februari 2025.
Selepas itu, MAHB akan memulakan langkah dan prosedur yang diperlukan untuk dinyahsenaraikan daripada Pasaran Utama.
MoF menambah, sebagai sebuah negara yang berdaulat, urusan keluar masuk dalam negara akan dikendalikan oleh pelbagai agensi dan jabatan termasuk Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen, Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis).
Katanya, soal keselamatan di darat dan kawasan awam di sekitar lapangan terbang pula adalah di bawah bidang kuasa Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Pengangkutan Jalan.
“Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) pula bertanggungjawab dari segi keselamatan di udara serta kawasan pengendalian bagasi. Selain itu, MAHB akan kekal dikawal selia oleh agensi seperti Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM),” katanya.
Jelas MoF, kedaulatan dan kepentingan negara akan terus terjamin memandangkan konsortium tersebut diterajui oleh syarikat-syarikat GLIC menerusi pemilikan majoriti saham 70 peratus.
Di samping itu katanya, kerajaan juga melalui Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) akan mengekalkan pegangan Saham Khas atau Golden Share dalam MAHB.
Katanya, MKD selaku pemegang saham khas MAHB, berhak dari semasa ke semasa melantik pengarah MAHB, termasuk seorang Pengerusi dan seorang Pengarah Urusan MAHB dan ini akan memastikan segala keputusan strategik yang diambil oleh konsortium itu adalah selari dengan kepentingan negara.
“Kerajaan percaya usaha transformasi MAHB ini akan membuahkan hasil dan dapat menarik lebih banyak syarikat penerbangan, penumpang, sekali gus merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi negara dan memberi pulangan kepada kerajaan,” katanya. – WILAYAHKU