Berita

MAFI lulus 148 lesen Pukat Tunda Musim Tengkujuh setakat Oktober

- Diterbit 18 November 2020 4:28 AM MYT

KEMENTERIAN Pertanian dan Industri Makanan melalui Jabatan Perikanan telah meluluskan 148 lesen peralatan tambahan Pukat Tunda Musim Tengkujuh (PTMT) setakat Oktober lepas.

Timbalan Menteri II Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata pada masa ini kementerian masih menimbang permohonan baharu lesen itu yang diberikan kepada pemilik vesel Zon A, khususnya untuk negeri di pantai timur iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor Timur.

Pertimbangan itu diberikan kepada pemilik vesel yang mematuhi syarat iaitu muatan vesel ialah 15 Gross Registered Tonnage (GRT) ke bawah, dan vesel dipasang turtle exclusion device, katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

“Bagaimanapun jumlah kelulusan khas permohonan lesen peralatan PTMT setiap tahun tertakluk kepada keupayaan dan daya tampungan sesebuah kawasan berbanding sumber perikanan sedia ada.

“Ini untuk memastikan sumber perikanan dapat diuruskan secara mampan, mengurangkan kesesakan di zon tangkapan serta mengelak konflik dalam kalangan nelayan,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Shaharizukirnain Abd Kadir (PAS-Setiu) yang bertanyakan sama ada kementerian bercadang mempertimbangkan kelulusan lesen pukat tunda sementara untuk mencari udang kepada nelayan pada musim tengkujuh.

PTMT membolehkan nelayan menangkap udang semasa musim tengkujuh iaitu dari November hingga Mac. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas