Berita

MAFI, CAAM rangka arahan khusus penggunaan dron dalam sektor pertanian

- Diterbit 16 Disember 2020 9:08 AM MYT

KEMENTERIAN Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) serta Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) sedang merangka satu arahan khusus mengenai penggunaan dron dalam sektor pertanian.

Menerusi satu kenyataan hari ini, MAFI berkata pihaknya telah melaksanakan beberapa sesi libat urus bersama CAAM berhubung penggunaan dron dalam sektor itu.

MAFI berkata jabatan dan agensi di bawahnya serta golongan petani menggunakan dron secara meluas dalam menjalankan aktiviti pertanian, bagi tujuan semburan racun dan baja, pemantauan kawasan yang dijangkiti penyakit serta pemetaan kawasan.

“Walaupun MAFI menggalakkan penggunaan dron, aspek keselamatan dan pematuhan peraturan berkaitan penggunaan dron sentiasa diberi perhatian serius,” demikian menurut MAFI susulan kenyataan Polis Diraja Malaysia mengenai perlunya mendapatkan kebenaran untuk penggunaan dron.

MAFI berkata pihaknya akan berbincang dengan CAAM supaya sebarang peraturan yang dikeluarkan tidak akan membebankan petani terutama dari segi kos yang berkaitan agar prosedur dan proses permohonan dan tempoh kelulusan adalah lebih munasabah.

“MAFI akan memastikan bahawa peraturan dan arahan khusus melalui kerjasama dengan CAAM ini bukan sahaja menjamin keselamatan penggunaan dron oleh para petani malah kepentingan dan kebajikan mereka juga terus terpelihara,” katanya.

Kementerian itu juga akan bekerjasama dengan CAAM dalam usaha meningkatkan kesedaran dan kepatuhan operator dron sektor pertanian mengenai kepentingan pendaftaran dan tahap keselamatan penggunaan dron di negara ini, demikian menurut kenyataan tersebut.

Sementara itu, MAFI berkata Jabatan Pertanian telah menyediakan draf prosedur operasi standard (SOP) semburan racun perosak menggunakan Unmanned Aerial Vehicle/Dron untuk dibincangkan bersama CAAM. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas