MADU kelulut kini semakin mendapat perhatian sebagai komoditi baharu yang berpotensi tinggi.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata, berdasarkan data dari Jabatan Pertanian, pengeluaran madu kelulut di Malaysia mencecah sehingga hampir 146 kilogram dengan nilai melebih RM21 juta.
“Ini adalah satu industri yang mampu berkembang, jika diuruskan dengan baik dan strategik.
“Saya mengucapkan tahniah kepada Perbadanan Putrajaya (PPj) kerana telah pun menyahut arahan saya tahun lalu berkenaan produk hiliran ini dengan memperkenalkan produk madu kelulut yang dinamakan sebagai ‘Maduku Putrajaya’.
“Selepas ini, Perbadanan Putrajaya boleh meneroka peluang untuk mendapatkan pensijilan halal dan organik bagi produk ‘Maduku Putrajaya’ ini supaya dapat menembusi pasaran antarabangsa pula, seperti di Eropah, Timur Tengah dan Asia Tenggara,” katanya dalam ucapan ketika merasmikan Hari Terbuka Pertanian Bandar dan Kelulut Putrajaya (HTPBKP) 2025.
Zaliha berkata selain sebagai makanan, produk madu kelulut ini juga boleh menjadi produk premium dan boleh dieksport dengan nilai tambah seperti produk komestik, suplemen kesihatan ataupun functional foods.
Jelasnya di Putrajaya sebanyak 10 kebun komuniti pelbagai tanaman telah diusahakan.
“Saya difahamkan, pada tahun 2024 sahaja, kebun-kebun ini telah menghasilkan hampir RM100 ribu jualan, yang mana keuntungannya diagihkan kepada komuniti yang terlibat.
“Ini adalah bukti bahawa hasrat kebun komuniti ini sememangnya memberi manfaat ekonomi kepada komuniti setempat,” ujar beliau.
Zaliha berkata potensi ini perlu dimanfaatkan dengan kerjasama antara pengusaha kebun komuniti, institusi penyelidikan dan juga keterlibatan pihak swasta.
“Saya sebenarnya nak melihat lebih banyak lagi usaha dalam membangunkan produk hiliran yang boleh dipasarkan secara lebih luas dan ini dijadikan salah satu punca pendapatan.
“Tidak semestinya perlu pihak berkuasa tempatan (PBT) yang mengusahakan, tetapi dalam kalangan komuniti sendiri yang melaksanakannya.
“Di peringkat PBT seperti PPj atau mungkin Jabatan Wilayah Persekutuan sebagai Pihak Berkuasa Negeri, kita boleh untuk menyediakan mentorship daripada mereka yang telah berjaya,” katanya.
Dengan bertemakan ‘Jom Bertani Komuniti Madani’, program yang berlangsung pada hari ini hingga esok, mensasarkan seramai 1,000 pengunjung pada setiap hari penganjuran. – WILAYAHKU