Agama

MADAD lancar jam azan… “Solat adalah kewajipan, bukan pilihan” – Ustaz Yaakub Yusra

- Diterbit 13 Januari 2025 12:49 PM MYT

SOLAT adalah tiang agama. Namun sejauh manakah kita menghayati dan berusaha untuk melaksanakan kewajipan ini.

Melihat kepentingan solat, pendakwah bebas yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Madad (Murtadha Dakwah Centre) International Sdn Bhd, Ustaz Muhammad Yaakub Yusra kini melancarkan produk terbaharu syarikatnya, Jam Azan MADAD Promas.

“Solat adalah kewajipan, bukan pilihan. Mengabaikan ibadat ini adalah satu kerugian besar buat diri kita.

“Kalau tak solat, Islam tidak akan rugi kerana Allah Maha Berkuasa memeliharanya tetapi bagaimana kita sebagai hambaNya menjaga amanah ini?

“Salah satu cara ialah dengan sentiasa mengingati waktu solat. Jam Azan MADAD ini direka untuk membantu kita melaksanakan kewajipan ini sambil menjadi peringatan harian untuk memperbaiki diri,” katanya.

‘JAM Azan MADAD membantu kita melaksanakan kewajipan ini sambil menjadi peringatan harian untuk memperbaiki diri’ – Ustaz Yaakub Yusra

Ustaz Yaakub Yusra berkata demikian pada sidang media Majlis Pelancaran Kilang Jam Azan MADAD di Murtadha Dakwah Centre di Sungai Petani, Kedah, pada Sabtu baru-baru ini.

Dalam pada itu, Ustaz Yaakub juga menjelaskan beliau mempunyai alasan tersendiri apabila memilih untuk menghasilkan jam azan dengan kos permulaan sebanyak RM1 juta.

“Apa benda yang paling banyak orang tengok setiap hari. Sudah tentu jam. Penggunaan jam ini walaupun dipakai hari-hari pun orang tak pelik.

“Berbanding kalau pakai tudung, baju atau kasut yang sama setiap hari, jam yang sama adalah sesuatu yang tidak nampak pelik apabila dipakai setiap hari.

“Bukan itu sahaja, jam juga melambangkan kepentingan masa kepada kita semua. Masa ibarat pedang, jika engkau tidak memotongnya, ia memotongmu.

” Jadi kepentingan masa membuatkan kami yakin dengan projek ini dan sekaligus memantapkan lagi kos operasi MADAD tanpa berharap kepada kutipan orang ramai,” ujarnya.

SEKITAR majlis pelancaran Jam Azan MADAD

Menurutnya lagi, keistimewaan Jam Azan MADAD membawakan elemen keunikan suasana masjid ke dalam rumah dengan rekaan moden serta fungsi mesra pengguna.

“Jam ini bersaiz lebih kompak, iaitu 15 inci x 12 inci dan harganya lebih mampu milik berbanding produk sama di pasaran.

“Kalau dalam pasaran harga jam seperti ini antara RM 300 hingga RM450, tapi jam azan MADAD ini harganya bermula RM 298 dan semuanya bergantung kepada reka bentuk yang diinginkan.

“Untuk keluaran pertama ini, kami menghasilkan 1000 unit Jam Madad. Untuk keluaran akan datang, antara 5000 hingga 10,000 unit jam akan dihasilkan kerana kami sudah ada pelabur yang mahu terlibat sama.

” Apa yang lebih penting, ia telah mendapat kelulusan daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) serta pengesahan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) memastikan waktu solat yang dipaparkan adalah tepat,” katanya.

Ciri-ciri utama jam ini termasuk
Peringatan sebelum Azan, bacaan surah dimainkan 10 minit sebelum waktu solat, memberikan pengguna masa untuk bersedia.

Terdapat juga zikir jarian apabila setiap jam, zikir tertentu akan dimainkan untuk membantu pengguna sentiasa mengingati Allah.

Reka bentuk disesuaikan mengikut kehendak pelanggan. Pengguna boleh menukar latar belakang gambar mengikut cita rasa masing-masing.

Sempena pelancaran, enam rekaan eksklusif ditawarkan, termasuk imej Masjid Nabawi dan Masjidil Haram.
Madad juga merancang untuk memperkenalkan versi jam pintar yang kini dalam peringkat prototaip.

Jam ini akan berfungsi sebagai diari solat, membolehkan pengguna menyemak waktu mereka mendirikan solat dan menilai sama ada ia dilakukan pada awal atau lewat waktu.

“Inilah bukti bagaimana kita mengekspoitasi teknologi moden untuk mengukuhkan amalan ibadah. Ia bukan sekadar jam tetapi panduan harian untuk memperbaiki diri,” jelasnya.

Jam Azan MADAD dibangunkan dengan kerjasama Promas Sdn Bhd, sebuah syarikat berpengalaman lebih 19 tahun dalam membekalkan jam azan kepada masjid dan surau di seluruh negara.

“Operasi pengeluaran kini dikendalikan sepenuhnya oleh Madad International Sdn Bhd. dan kualiti jam ini dijamin dengan waranti selama dua tahun.

” Lebih istimewa, walaupun selepas lima atau enam tahun, kami masih bersedia membaiki sebarang kerosakan tanpa sebarang caj,” katanya.

MADAD kini mengambil alih operasi Promas termasuk aspek pengurusan dan pentadbiran. Syarikat ini berhasrat untuk memastikan setiap rumah memiliki sekurang-kurangnya satu Jam Azan MADAD sebagai usaha membantu umat Islam menjaga waktu solat dengan lebih baik. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas