Berita

Lubang benam: Kerajaan peruntuk RM10 juta bantu DBKL jalankan kajian geoteknikal

- Diterbit 17 Disember 2024 2:10 PM MYT

KERAJAAN memperuntukkan sejumlah RM10 juta bagi membantu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menjalankan kerja-kerja geoteknikal struktur lapisan tanah di jalan-jalan utama sekitar ibu negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata, ia bagi mengelak insiden lubang benam yang berlaku pada 23 Ogos lalu berulang.

“DBKL telahpun mempergiat kerja-kerja baik pulih serta penyediaan pelaporan bagi insiden lubang benam tersebut.

“Status semasa ialah, kerja-kerja baik pulih tapak lubang benam kedua iaitu berdepan bit polis Jalan Masjid India telahpun siap sepenuhnya.

“Jalan serta lorong berhampiran telah dibuka kepada orang awam pada 10 November lalu,” katanya di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Tan Sri Mohamad Fatmi Che Salleh mengenai status atau laporan terkini mengenai isu lubang benam di ibu negara.

Dr Zaliha berkata, kawasan ‘ground zero’ di depan Wisma Melayu masih ditutup untuk kerja-kerja pembaikan fasa terakhir.

Kerja-kerja tersebut katanya, dijangka selesai pada hujung bulan ini.

“Jadi awal tahun depan, insya-Allah aktiviti-aktiviti biasa atau normal akan dapat dilaksanakan kembali,” jelasnya.

Beliau menambah, DBKL juga sedang membuat kompilasi ulasan-ulasan daripada pelbagai agensi untuk dimasukkan bersama di dalam laporan serta analisis data siasatan tanah yang telah dijalankan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas