Berita

Lorong Belakang tumpuan baharu pemuzik, anak seni tempatan untuk berkarya

Hanif (berdiri dua dari kanan) bersama kumpulan Drama Band selepas membuat persembahan di Lorong Belakang.
- Diterbit 28 September 2024 8:00 PM MYT

TAPAK perniagaan dikenali sebagai Lorong Belakang yang terletak di Shaftsbury Square, Cyberjaya tidak hanya menjadi tumpuan orang ramai bagi membeli pelbagai juadah makanan dan barangan, tapi kini menjanjikan persembahan hiburan menarik.

Buktinya, kemunculan kumpulan terkenal Drama Band di pentas Lorong Belakang, semalam, bagi mempromosikan Konsert The Hardest Malam Drama yang bakal diadakan di Zepp Kuala Lumpur pada 5 Oktober ini mendapat sambutan luar biasa.

HANIF (berdiri dua dari kanan) bersama kumpulan Drama Band selepas membuat persembahan di Lorong Belakang.

Biarpun persembahan berkonsepkan busking, Drama Band tetap memberikan nyanyian bertenaga sebanyak 12 lagu bersama anggota lain seperti kebiasaan penampilan mereka di pentas.

Ketua Pegawai Eksekutif Youth Ventures Asia yang juga penganjur tapak Lorong Belakang Hanif Marzuki, 30, berkata, kehadiran Drama Band menaikkan lagi imej pentas Lorong Belakang yang beroperasi setiap Jumaat hingga Ahad.

“Kali terakhir acara sebegini pernah dibuat Datuk Sudirman di Chow Kit Road, tapi ketika itu dia datang nyanyi. Selepas itu tak ada lagi. Jadi, macam mana kami boleh bawa Drama Band adalah selepas mereka muncul di podcast dan menyuarakan hasrat untuk buat persembahan sebegini sambil nak jual tiket.

“Sebenarnya, Drama Band memang satu-satunya pilihan kami untuk dibawa ke Lorong Belakang. Sebab ini pertama kali buat macam ini. Kalau pentas pasar malam di sini boleh bawakan Drama Band, bermaksud band lain pun boleh juga. Alhamdulillah, sambutan penonton sangat ‘happening’.

“Kehadiran Drama Band ini juga menaikkan lagi imej pentas Lorong Belakang. Kebanyakan yang buat persembahan sebelum ini busker biasa. Dua bulan lepas kami panggil sekolah seni untuk buat persembahan. Sekarang panggil artis.

“Idea untuk pelbagaikan. Bukan setakat band ternama, tapi kami pernah juga panggil pelajar Aswara. Kita nak tengok pentas ini boleh buat apa saja muzik. Pada akhirnya Lorong Belakang adalah budaya kerana pasar malam adalah budaya kita. Jadi, kami nak pelbagaikan artis, muzik dan genre,” katanya.

KEHADIRAN Drama Band menaikkan lagi imej pentas Lorong Belakang yang beroperasi setiap Jumaat hingga Ahad.

Menurutnya, dianggarkan antara 10,000 sehingga 15,000 pengunjung direkodkan pada setiap minggu yang datang dari seluruh negara.

“Lorong Belakang ini sudah beroperasi sejak 2019 lagi, namun ketika pandemik melanda negara ia terhenti. Malah, selepas semua aktiviti kembali beroperasi tapak ini masih belum mendapat sambutan. Ketika itu ia berlangsung pada awal dan hujung bulan dengan pembabitan antara lima hingga lapan vendor saja.

“Selepas itu, dengan kerjasama penuh Shaftsbury Square, kami terus melancarkan Lorong Belakang ini yang kini berlangsung pada hari Jumaat hingga Ahad pada setiap minggu dan dibuka sehingga jam 12 malam.

“Apabila semakin mendapat perhatian dan tular di media sosial, bukan saja pengunjung yang bertambah tapi jumlah peniaga pun semakin meningkat,” katanya.

Menariknya juga, Lorong Belakang turut memberi peluang kepada pelajar universiti di sekitar Cyberjaya untuk bekerja secara sambilan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas