CKK

Lorong belakang rumah dihalang

- Diterbit 19 Januari 2024 11:50 AM MYT

KATA orang jangan padang belakang, takut ada yang mengekori! Tetapi penting juga memandang belakang. Kerana itu di setiap taman perumahan ada lorong belakang atau back alley, memisahkan bahagian belakang deretan rumah berlainan.

Syarat pembinaan yang memerlukan ada lorong belakang ini bukan semata-mata untuk memisahkan rumah, tetapi ia merupakan laluan penting jika berlaku kecemasan. Misalnya jika berlaku kebakaran, senang tugas bomba memadam api.

Selain itu bagi memudahkan kerja-kerja pembersihan seperti memotong rumput atau membawa keluar sampah sarap yang berlonggok di belakang rumah. Lorong ini memudahkan pekerja pembersihan menjalankan tugas.

Namun daripada pemerhatian kawan-kawan Kedai Kopi, di banyak kawasan perumahan, ramai penghuni menyalah guna lorong belakang. Lorong yang sepatutnya kosong dihalang sehingga sukar dilalui. Pelbagai objek diletak, termasuk bahan-bahan buangan besi dan kayu.

Ada pula yang rajin bercucuk tanam di belakang rumah, baik dalam pasu atau tanah lapang. Yang menanam dalam pasu meletakkan pasu sesuka hati. Yang di atas tanah pokok membesar menghalang jalan pun tidak peduli.

Kawan-kawan Kedai Kopi perhatikan, ada pokok yang ditanam rendang dibiar membesar sehingga menjadi seperti kawasan belukar. Jika begini memang susah hendak lalu. Malah dikhuatiri mendatangkan risiko lain, misalnya kehadiran binatang berbisa.

Diharap mereka yang berperangai suka menghalang laluan belakang ubahlah sikap. Fahami fungsi sebenar lorong belakang. Ia demi kebaikan penduduk sendiri. Belum terkena mungkin menganggap tidak apa. Sudah terkena baharu menyesal.

Kepada pihak berkuasa, khususnya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), buatlah pemantauan dan bertindak terhadap penghuni yang degil. Jika itu sahaja cara membolehkan mereka sedar, lakukan sahaja.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas