BERMULA dengan niat untuk membantu peniaga kecil menjana pendapatan‚ kini hasrat murni tersebut tercapai apabila bazar larut malam yang dikenali sebagai Lorong Belakang mampu menarik sehingga 20‚000 pengunjung pada hujung minggu.
Diberi jolokon next Petaling Street‚ Lorong Belakang yang dibuka setiap Jumaat hingga Ahad bukan sahaja menjadi tumpuan orang ramai untuk mendapatkan pelbagai juadah makanan dan barangan‚ bahkan ia turut menjanjikan persembahan hiburan yang menarik.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Youth Ventures Asia merangkap penganjur tapak Lorong Belakang‚ Hanif Marzuki‚ lokasi yang terletak di Shaftsbury Square‚ Cyberjaya tersebut merupakan pusat tumpuan ekonomi peniaga kecil dan sederhana saban minggu.
“Lorong Belakang memberi peluang kepada para peniaga kecil dan sederhana untuk bersaing secara sihat dengan mana-mana francais lain di luar.
“Selain itu‚ ia juga turut memberi peluang kepada pelajar universiti di sekitar Cyberjaya untuk bekerja secara sambilan‚ mereka bukan sahaja boleh mencari duit poket tetapi dalam masa yang sama mendapat pendedahan awal tentang dunia perniagaan.
“Alhamdulillah‚ apa yang membanggakan‚ terdapat bekas peniaga Lorong Belakang kini mempunyai kedai atau restoran sendiri. Bayangkan mereka menimba pengalaman di sini‚ akhirnya dapat bersaing dengan peniaga-peniaga lain yang lebih besar‚” ujarnya.
Tambahnya‚ terdapat 130 tapak jualan yang dibuka kepada peniaga bermula pukul empat petang hingga 12 tengah malam dengan serendah RM50 hingga RM70 sahaja sehari.
“Ia bergantung kepada lokasi yang diambil. Harga yang kita tawarkan murah dan tidak membebankan peniaga jika dibandingkan di bazar larut malam lain‚” ujarnya.
Menariknya saban minggu‚ peniaga akan sentiasa bertukar untuk memberi kelainan dari segi barangan dan sebagainya sekali gus menjadi salah satu tarikan kepada pengunjung.
Mengulas lanjut‚ Hanif bersyukur hasratnya dan pasukan untuk mewujudkan pasar malam moden atau next Petaling Street tercapai.
“Inilah titik permulaan kami. Pada tahun 2019‚ hanya terdapat 10 peniaga sahaja berbanding hari ini sudah pun mencecah 130 tapak jualan.
“Pada awal perniagaan‚ agak sukar untuk yakinkan peniaga berniaga di sini. Tambahan pula‚ nama Lorong Belakang itu sendiri buat sesetengah mereka ragu-ragu. Ada yang ingat tempat yang tak elok.
“Selain itu‚ cabaran lain‚ kami tak letakkan perniagaan kami buat ini bermotifkan keuntungan. Jadi agak sukar untuk kami menyediakan lebih kemudahan kepada peniaga. Namun ia bukanlah menjadi masalah kerana kami sentiasa positif dan yakin ia akan berjaya pada waktunya‚” ujarnya.
Tambahnya lagi‚ ketika negara dilanda pandemik sekitar tahun 2020‚ operasi Lorong Belakang pernah terhenti seketika.
“Selepas semua aktiviti kembali beroperasi tapak ini masih belum mendapat sambutan. Ketika itu‚ ia berlangsung pada awal dan hujung bulan sahaja dan hanya mempunyai lapan orang peniaga. Namun selepas melancarkan nama Lorong Belakang dengan kerjasama Shaftsbury Square‚ bukan sahaja pengunjung yang bertambah bahkan jumlah peniaga juga meningkat‚” ujarnya bersyukur dengan kuasa tular di media sosial.
Kini cawangan Lorong Belakang turut terdapat di Bukit Bintang‚ Kuala Lumpur dan Dengkil‚ Selangor sekali gus menjadikan keseluruhannya 4‚000 peniaga terlibat. Selain itu‚ Lorong Belakang turut menjadi tumpuan baharu pemuzik dan anak seni tempatan untuk berkarya. – WILAYAHKU