Selebriti

Lokal tetap hebat

- Diterbit 23 Oktober 2024 2:10 PM MYT

AKIM & The Majistret, Kugiran Masdo dan Insomniacks antara band yang semakin digilai anak-anak muda masa kini.

Jika sebelum ini, banyak pihak atau penganjur cenderung memilih band dari negara jiran untuk menjayakan konsert di Malaysia, kini trend itu semakin berubah.

Buktinya, ketiga-tiga band ini serta Empty Page bakal beraksi dalam Konsert Destiny of Music 2.0 yang dijadualkan berlangsung pada 15 November depan di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam, Selangor.

Syarikat B De Paris Project selaku penganjur utama dan penganjur bersama, Sinemalis Studio dan Westzone Entertainment berbesar hati membawakan edisi kedua ini demi menyokong industri muzik tempatan yang tidak kurang hebatnya berbanding negara jiran.

Justeru, tiket untuk menyaksikan Konsert Destiny of Music 2.0 telah dijual dengan harga yang berpatutan serendah RM55 (Silver), RM85 (Gold), RM135 (Diamond), RM155 (Platinum) dan RM285 (VIP) bermula 10 Oktober 2024, di platform rasmi ticket2u https://www.ticket2u.com.my/.

“Orang tak tahu jatuh bangun”

KUGIRAN Masdo sekali lagi mencipta sejarah apabila menjadi wakil Malaysia dicalonkan dalam kategori Artis Asia Terbaik, Anugerah MTV EMA 2024 yang bakal berlangsung di Manchester, England pada 11 November depan.

Antara artis yang turut disenaraikan dalam kategori itu termasuklah Mahalini dari Indonesia, ILLIT (Korea Selatan), BINI (Filipina) dan Sakurazaka46 (Jepun).

Vokalis utamanya, Ali Sariah, 32, meluahkan rasa syukur atas pengiktirafan tersebut kerana bukan mudah untuk mereka sampai ke tahap itu setelah 10 tahun dalam industri seni.

“Di sebalik pencapaian hari ini, orang tak tahu pasal jatuh bangun kami. Sebenarnya kami dah tergolek-golek dah. Alhamdulillah, dengan izin Allah dan berkat tak putus asa, kami berjaya melepasi fasa itu.

“Pengalaman yang dilalui itu kami jadikan pengajaran. Apa yang saya boleh cakap, setakat ini 10 tahun dalam industri ini sangat mematangkan kami.

“Misalnya kami ditipu apabila terpaksa keluarkan duit sendiri untuk apa yang kami tak tahu. Akhirnya duit hangus macam itu sahaja Tambahan pula, tidak ada pihak yang menjaga kami di sana,” ujarnya yang  memasang impian mahu berkolaborasi dengan penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Berkenaan Konsert Destiny of Music, Kugiran Masdo meluahkan rasa bertuah masih dipilih untuk menjayakannya.

“Kami berbesar hati dapat sepentas dengan band lain yang hebat. Kalau boleh setiap persembahan akan tampilkan kelainan kerana tidak mahu orang datang melihat sesuatu yang sama berulang kali.

“Kami pun sebenarnya rasa tak sedap hati kalau asyik persembahan yang sama. Jadi kelainan dalam persembahan itu sangat penting bagi kami,” ujarnya lagi.

Berita gembira buat peminat

JIKA sebelum ini lambakan kemasukan artis negara jiran menjayakan konsert di negara ini menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan segelintir penggiat seni tanah air yang merasakan artis tempatan dianak tirikan dan dipandang sebelah mata.

Kini, mereka boleh menarik nafas lega apabila penganjur mula membuka mata akan kehebatan artis tempatan yang tiada kurang hebatnya. Buktinya akhir-akhir ini sudah banyak penganjuran konsert-konsert melibatkan artis tempatan.

Bagi vokalis Akim & The Majistret, Akim Ahmad, situasi positif ini satu perkembangan sihat dalam industri hiburan.

“Itu satu bentuk sokongan yang sangat bagus. Apabila sudah banyak penganjur yang memandang artis-artis tempatan khususnya indie band, sudah tentu ia satu berita gembira buat anak-anak seni.

“Saya harap selepas ini banyak lagi konsert atau festival memilih artis-artis tempatan sebab saya yakin banyak bakat yang hebat selain memiliki pakej lengkap segi rupa atau penampilan,” katanya.

Menyentuh tentang Konsert Destiny of Music 2.0, menurutnya konsert tersebut mempunyai konsep yang menarik apabila ada kumpulan-kumpulan seperti Akim & The Majistret, Kugiran Masdo, Imsoniacks dan Empty Page.

“Sudah tentu akan ada kelainan yang Akim & The Majistret akan tampilkan. Selain mempersembahkan lagu baharu, atas permintaan daripada penganjur susunan muzik kami diubah. Jadi, mungkin ada elemen kejutan dalam lagu-lagu yang kami sampaikan,” tambahnya lagi.

Wajah ‘jambu’ bantu populariti

KUMPULAN Insomniacks semakin menjadi kegilaan ramai remaja. Bukan sahaja ‘gila’ dengan lagu-lagu mereka, malah ramai peminat terpesona dengan wajah ‘jambu’ anggota-anggotanya.

Menurut vokalisnya, Syed Mir Iqbal Syed Adeli (Iqie), wajah ‘jambu’ itu hanya dilabelkan peminat kepada mereka, namun bersyukur kerana ia satu kelebihan buat Insomniacks.

“Apabila bercakap pasal wajah ‘jambu’ yang diberikan, apa yang boleh saya cakap, kalau belajar pasal pemasaran, ini salah satu perkara yang memainkan peranan.

“Ia berkaitan dengan visual dan apa yang peminat tengok. Sejujurnya ia memang membantu namun perlulah seiring dengan muzik dan lagu yang kami bawakan,” katanya.

Dalam masa yang sama, Insomniacks bersyukur para peminat sangat menghargai kehadiran mereka dalam industri muzik.

“Bercakap pasal peminat, setakat ini mereka sangat beradab. Kalau nak ambil gambar pun minta izin. Kalau mereka tengok kami makan, mereka tak ganggu. Kami juga ucapkan terima kasih atas hadiah-hadiah yang mereka berikan.

“Diharapkan dapat lagi bertemu mereka di Konsert Destiny of Music November ini. Dalam masa yang sama, kami juga teruja apabila akan sepentas dengan Akim & The Majistret, Kugiran Masdo dan Empty Page.

“Semoga konsert ini dapat menambah pengalaman kami untuk menjadi lebih baik. Banyak sebenarnya yang kami boleh belajar daripada mereka. Terima kasih juga kepada penganjur yang memilih kami,” tambahnya lagi.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas