LEMBAGA Lebuhraya Malaysia (LLM) menjangkakan aliran trafik meningkat di lebuh raya utama dari ibu kota menghala keluar ke utara, timur dan selatan negara berikutan cuti perayaan Tahun Baharu Cina yang akan disambut minggu depan.
Pergerakan kenderaan keluar dari ibu kota sempena cuti panjang akan meningkat bermula pada 24 – 28 Januari, manakala aliran trafik kembali ke ibu kota dijangka menunjukkan peningkatan pada 1 – 2 Februari.
LLM menjangkakan trafik tertinggi sebanyak 2.6 juta kenderaan sehari akan menggunakan lebuh raya utama sempena cuti perayaan Tahun Baharu Cina ini.
Daripada jumlah itu, sebanyak 2.2 juta kenderaan dijangka akan menggunakan Lebuhraya Utara Selatan, 198 ribu di Lebuhraya KL-Karak, 82 ribu di Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1, 48 ribu Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 dan 120 ribu di Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE).
Ketua Pengarah LLM, Sazali Harun, berkata sebagai usaha mengurangkan kesesakan sepanjang tempoh cuti perayaan Tahun Baru Cina ini, LLM telah mengambil beberapa langkah-langkah bagi mengelakkan kesesakkan.
“LLM memastikan tiada penutupan lorong oleh syarikat konsesi lebuh raya kecuali bagi kerja kecemasan bermula pada 23 Januari hingga 3 Februari 2025;
“Pengaktifkan laluan smart lane di 25 lokasi hotspot kesesakan di Lebuhraya Utara Selatan serta pelaksanaan pengurusan trafik di plaza tol dan persimpangan bagi
menambah baik aliran trafik seperti traffic channelization / segragation, pengaktifan laluan tidal serta penambahan kaunter bayaran tol menggunakan portable reader,” katanya dalam satu kenyataan.
Pelaksanaan tempoh larangan pemanduan kenderaan barangan sempena perayaan Tahun Baharu Cina 2025 pada 27 – 28 Januari dan 1 – 2 Februari dijangka sedikit sebanyak akan membantu kepada aliran trafik yang lebih baik di lebuh raya utama negara. – WILAYAHKU