Berita

LKPIM bakal buka cawangan di Sabah dalam masa terdekat

- Diterbit 17 Februari 2025 2:53 PM MYT

LEMBAGA Kebajikan Perempuan Islam Malaysia (LKPIM) akan membuka sebuah cawangan lagi di Sandakan, Sabah dalam masa terdekat, kata Yang Dipertua LKPIM, Tunku Temenggong Kedah, Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Menurut Tunku Puteri Intan Safinaz, LKPIM mempunyai 15 Perhubungan Negeri yang terdiri daripada 70 daerah dan 103 cawangan di seluruh negara.

“Jumlah keseluruhannya adalah sebanyak 22,150, katanya semasa berucap pada Majlis Beramah Mesra bersama Perhubungan Negeri LKPIM di Dewan Besar LKPIM Jalan Pantai Baharu, Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, Tunku Puteri Intan Safinaz berkata majlis hari ini adalah sebuah platform yang istimewa untuk mengeratkan lagi ikatan persaudaraan yang telah lama terjalin.

Beliau berkata dalam suasana santai dan mesra ini, semua berpeluang untuk saling bertukar pandangan dan berkongsi pengalaman yang berharga sambil memperkukuhkan hubungan antara negeri.

“Saya percaya majlis ini bukan sahaja memberi ruang untuk kita berehat seketika daripada tuntutan tugas seharian tetapi juga untuk mengeratkan lagi kerjasama dalam usaha memperkasakan LKPIM dalam menjalankan kerja-kerja kebajikan serta memperkukuhkan semangat kebersamaan dalam menjalankan kerja-kerja kebajikan.

“Setiap daripada kita membawa wawasan dan aspirasi yang berbeza, namun matlamat kita tetap sama untuk meningkatkan kesejahteraan dan meningkatkan taraf hidup wanita di seluruh negara,” katanya.

Tunku Puteri Intan Safinaz turut berharap program hari ini bukan sahaja memperkaya hubungan sedia ada, tetapi juga memberi inspirasi dan motivasi kepada semua ahli untuk terus maju dalam segala usaha yang dilakukan dalam LKPIM.

“Saya menyeru agar kita menikmati waktu bersama dengan penuh keakraban dan keceriaan serta terus memperkukuhkan ikatan ukhuwah yang telah lama terbina,” katanya.

Sementara itu, dalam sidang medianya Tunku Puteri Intan Safinaz berkata sebuah rumah di Sungai Petani, Kedah telah berjaya dibangunkan LKPIM untuk dijadikan sebagai pusat jagaan warga emas wanita yang dipinggirkan keluarga.

“Kita sudah menabung sejak 20 tahun lepas untuk membina pusat ini,” katanya.

LKPIM diasaskan oleh Raja Permaisuri Agong Pertama Tuanku Kursiah Tunku Besar Burhanuddin pada 17 Oktober 1961 yang bertujuan untuk meningkatkan taraf hidup wanita.

Antara 15 kepimpinan LKPIM diperingkat perhubungan negeri ialah Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan, Negeri Sembilan, Melaka, Johor Pahang, Kelantan, Terengganu dan Sabah cawangan Tawau. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas