SEBANYAK 64 syor audit telah dikemukakan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Siri 2/2024 untuk dilaksanakan kementerian, jabatan, agensi dan syarikat kerajaan yang diaudit di peringkat persekutuan.
Jabatan Audit Negara (JAN) dalam laporan tersebut turut memaklumkan, sembilan pengauditan yang melibatkan 11 kementerian dengan nilai kos keseluruhan program, projek, aktiviti yang diaudit berjumlah RM41.970 bilion.
“Skop pengauditan meliputi projek-projek yang telah dilaksanakan dalam tempoh Rancangan Malaysia Kesembilan (RMKe-9) hingga Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12),” katanya baru-baru ini.
Tambahnya, terdapat beberapa kelemahan dalam pelaksanaan aktiviti atau projek atau program kerajaan yang berpunca daripada pelbagai faktor seperti kurang pemantauan atau penyeliaan oleh pihak berkaitan, ketiadaan penyelarasan antara agensi berkenaan, ketiadaan pangkalan data yang lengkap dan kelemahan dalam polisi atau prosedur kerja.
“Kelemahan ini menyebabkan program atau aktiviti atau projek tidak dapat disiapkan dalam tempoh ditetapkan, kualiti kerja tidak memuaskan, kos meningkat dan kerajaan tidak mendapat nilai faedah wang yang dibelanjakan.
“Antara isu signifikan yang dibangkitkan dalam laporan tersebut ialah Pengurusan Projek Sungai Nadi Kehidupan [River of Life (RoL)]; Pengurusan Program Pemerkasaan Jaringan dan Infrastruktur Telekomunikasi Jalur Lebar; Pengurusan Projek dan Program di bawah Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER),” ujarnya.
Dalam pada itu, jelasnya, LKAN 2/2024 juga menekankan mengenai pengurusan syarikat Kerajaan Persekutuan.
Jelasnya, pengauditan pengurusan syarikat Kerajaan Persekutuan adalah untuk mengukur pencapaian objektif penubuhan syarikat melalui tiga aspek yang dinilai, iaitu tadbir urus korporat, kedudukan kewangan dan pengurusan aktiviti utama syarikat dengan skop pengauditan bagi tempoh pada tahun 2019 hingga 2023.
“Terdapat dua syarikat berkait dengan Kerajaan Persekutuan iaitu Majlis Profesor Negara (MPN) dan i2M Ventures Sdn Bhd (i2M Ventures) dikesan tidak mencapai objektif penubuhan yang ditetapkan.
“Selain tidak mencapai objektif penubuhan syarikat ditetapkan, amalan tadbir urus korporat MPN didapati tidak memuaskan, berbeza dengan i2M Ventures yang dikategorikan sebagai memuaskan dalam laporan itu.
“Dari segi kedudukan kewangan, prestasi i2M Ventures didapati tidak stabil sementara MPN pula, tidak dinyatakan kedudukan kewangan bagi syarikat itu.
“Bagaimanapun untuk kesinambungan operasi dan sumber kewangan MPN, syarikat itu tertakluk kepada peruntukan yang diterima daripada kerajaan,” ujarnya.
Jelasnya, dalam laporan sama turut mendedahkan terdapat empat syarikat Kerajaan Persekutuan belum mencapai objektif penubuhan syarikat sepenuhnya.
Menurutnya, syarikat berkenaan ialah Rangkaian Hotel Seri Malaysia Sdn Bhd (Rangkaian Hotel Seri Malaysia); MARA Incorporated Sdn Bhd (MARA Inc); Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp).
“Daripada empat syarikat itu, audit mendapati MARA Inc dan HRD Corp juga kurang memuaskan dalam aspek segi amalan tadbir urus korporat.
“Bagi Rangkaian Hotel Seri Malaysia dan UIAM, audit mendapati kedua-duanya merekodkan amalan tadbir urus korporat yang memuaskan.
“Bagi kedudukan kewangan, Rangkaian Hotel Seri Malaysia dan HRD Corp didapati adalah stabil, manakala MARA Inc dan UIAM dikesan berada dalam situasi kurang stabil,” jelasnya.
JAN menegaskan walaupun laporan mendapati Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) berada dalam kedudukan kewangan yang kurang stabil, namun begitu entiti berkenaan mencapai objektif penubuhan syarikat, selain mengamalkan tadbir urus korporat dikategorikan sebagai memuaskan.
Tambahnya, bagi pengurusan syarikat Kerajaan Persekutuan, terdapat keperluan penambahbaikan berterusan oleh syarikat kerajaan bagi memastikan pelaksanaan aktiviti selaras dengan objektif penubuhan syarikat.
Tegasnya, kelestarian perniagaan syarikat kerajaan hendaklah dilengkapi dengan amalan tadbir urus yang baik bagi mewujudkan keyakinan pihak awam. – WILAYAHKU