Berita

Liza Aziz, Ning Baizura berentap dalam GV11

- Diterbit 7 November 2024 11:12 AM MYT

PROGRAM hiburan Gegar Vaganza (GV) yang memasuki musim ke-11 kembali kepada format asalnya iaitu menampilkan penyanyi yang sudah lama tidak membuat kemunculan semula dalam industri.

Semalam, program yang bakal disiarkan di Astro Ria bermula 24 November ini mengumumkan 14 calon yang bakal berentap musim ini.

Dua penyanyi lagenda iaitu Liza Aziz dan Ning Baizura turut berentap untuk musim ini, manakala 12 peserta lain iala Reshmonu, Illa Sabri, Sheila Abdul, Ronnie Hussein, Fairuz Selamat, Arroa Salwa, Yazif Lovehunters, Nai Dinamik dan Zehra Zambri.

Tahun ini GV turut menyaksikan penyertaan daripada penyanyi Indonesia iaitu The Lima, Inka Christie dan vokalis kumpulan Dadali, Dyrga.

Naib Presiden Strategi Pembangunan Kandungan Hiburan Melayu, Astro, Raqim Ahmad, GV11 kembali kepada format asal itu diperkenalkan kembali di atas permintaan peminat program itu.

“Kami sudahpun mengadakan pertandingan juara antara juara dan ini adalah atas kehendak penonton program yang mahukan GV kembali dengan format asal iaitu menampilkan penyanyi yang mempunyai lagu one hit wonder. Jadi disebabkan itu kita kembali kepada format asal,” katanya.

GV 11 juga mengekalkan pelawak Nabil Ahmad dan Jihan Muse manakala Datuk Ramli MS, Datuk Syafinaz Selamat serta Hetty Koes Endang juga kekal sebagai juri. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas