LABUAN International Sea Challenge (LISC) 2025 yang dijadual berlangsung 24 hingga 27 Julai ini berjaya menarik penyertaan 2,500 orang, dari dalam dan luar negara.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan (PL), Mohd Sukuran Taib berkata penyertaan luar termasuk dari Brunei, Filipina, Brazil, Poland, Singapura, Hong Kong dan Amerika Syarikat.
Katanya penganjuran LISC tahun ini menyediakan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM350,000.
“Acara memancing laut dalam merupakan tarikan utama LISC dengan 212 penyertaan, melepasi sasaran jumlah peserta yang disasarkan sebelum ini,” katanya selepas mempengerusikan Jawatankuasa Induk LISC 2025 di Wisma Perbadanan, baru-baru ini.
Mohd Sukuran berkata pelancaran peserta memancing laut dalam bermula pada 22 April menuju ke lokasi memancing Pulau Layang-Layang di Kepulauan Spratly kira-kira 160 batu nautika dari Labuan.
“Hasil tangkapan akan dipamerkan kepada orang ramai pada 27 April dan hasil jualan tangkapan akan didermakan kepada badan-badan kebajikan yang ada di Labuan,” katanya.
Tambahnya dua lagi acara utama yang turut menjadi tarikan pengunjung tahun ini ialah Cabaran Berkayak Mengelilingi Pulau dan Reggata 2.0.
“Kedua-dua acara ini sering disertai oleh atlet kebangsaan dan Brunei dalam bidang sukan layar serta kayak bagi merebut hadiah yang ditawarkan selain menjadikan acara ini sebagai medan latihan bagi persediaan atlet ke Sukan Malaysia (SUKMA).
“Bagi memeriahkan suasana LISC tahun ini sebanyak lapan acara sokongan akan diadakan dengan menampilkan pertandingan bola tampar pantai, kejohanan silat pantai, pertandingan tarik tali pantai, pertandingan lumba perahu dan sukan rakyat,” katanya. – WILAYAHKU