PEMBINAAN lima stesen Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) dijangka siap dan beroperasi bermula suku kedua 2028.
Lima stesen berkenaan, Stesen Tropicana, Raja Muda, Temasya, Bukit Raja dan Bandar Botanik telah ditangguhkan pada 2018 susulan langkah penjimatan.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata, ketika ini Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) sedang memuktamadkan butiran teknikal dan kewangan perjanjian kontrak tambahan.
“Pelaksanaan projek ini akan diteruskan bagi skop reinstatement lima stesen tersebut tertakluk kepada kelulusan projek dan penyaluran dana daripada Kementerian Kewangan atau Kementerian Ekonomi.
“Skop kerja reinstatement melibatkan skop reka bentuk dijangka bermula pada suku pertama 2025,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Azahari Hasan (PN-Padang Rengas) mengenai status terkini penerusan projek lima stesen LRT3 yang dibatalkan sebelum ini.
Hasbi berkata, kerja-kerja fizikal dijangka bermula pada suku keempat 2025 bagi tempoh dua tahun.
Katanya, kos asal projek LRT3 yang diluluskan pada 2015 adalah sebanyak RM31.65 bilion, namun kos tersebut dikurangkan kepada RM16.63 bilion pada 2018 susulan langkah penjimatan kerajaan melalui pengurangan skop projek.
Menurutnya, penambahan RM5.3 bilion bagi pembinaan lima stesen berkenaan menjadikan kos keseluruhan projek LRT3 adalah sebanyak RM21.93 bilion.
“Jika dibandingkan dengan kos asal projek LRT3, kos terkini masih rendah dengan penjimatan sebanyak RM9.72 bilion. Sumber pembiayaan bagi skop reinstatement sedang dipertimbangkan oleh Kementerian Kewangan,” katanya. – WILAYAHKU