SEBANYAK lima Pusat Pemberian Vaksin (PPV) awam diwujudkan bagi mempercepatkan program vaksinasi di Pulau Bebas Cukai itu mencapai imuniti berkelompok menjelang pertengahan Julai nanti.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Labuan, Rithuan Mohd Ismail berkata, PPV awam yang pertama adalah di Dewan Mutiara Kolej Matrikulasi Labuan (KML) yang mana akan mula beroperasi esok yang melibatkan pemberian vaksin kepada kakitangan KML.
Katanya, pembukaan PPV awam itu akan mencapai 3,000 dos suntikan sehari yang mana sebelum ini berdasarkan dua PPV di Dewan Serbaguna Sri Labuan JKR dan Dewan Kompleks Darul Kifayah MAIWP hanya mencapai 1,100 dos sehari.
“Kita akan mempercepatkan lagi pemberian vaksin ini agar mencapai imuniti berkelompok pada pertengahan bulan Julai nanti sepertimana yang nyatakan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr Annuar Musa baru-baru ini,” katanya kepada pemberita ketika meninjau persiapan PPV awam di Dewan Mutiara KML, disini hari ini.
Dalam pada itu, Rithuan berkata PPV awam yang lain adalah di Dewan Utama Universiti Malaysia Sabah Kampung Antarabangsa Labuan (UMSKAL), Dewan Balai Bomba dan Penyelamat Rancha-Rancha.
Tambahnya, berdasarkan perancangan Jabatan Kesihatan Negeri, satu PPV awam khas Klinik Taman Mutiara turut dibuka dan klinik-klinik desa dibawah Jabatan Kesihatan turut digerakkan jika ada keperluan.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Labuan, Dr Ismuni Bohari memaklumkan proses pemberian vaksin dapat dicapai 5,000 dos sehari jika kesemua PPV awam beroperasi secara lancar.
Jelasnya, penambahan itu PPV awam itu dibuat berdasarkan bagi memenuhi peningkatan 30,000 dos vaksin yang akan diterima pada minggu ini.
” Kami akan menggandakan usaha kami untuk menyelesaikan pemberian vaksinasi untuk penduduk setempat seperti yang dijadualkan sebelum beralih ke fasa berikutnya untuk pekerja di sektor yang berkaitan dengan minyak dan gas serta pelarian di dua penempatan yang disetujui UNHCR di Kg Muslim dan Kiamsam,” katanya. – WILAYAHKU