Berita

Lima perkara diputuskan dalam mesyuarat Task Force hari ini

KETUA Setiausaha Negara, Tan Sri Dato Seri Mohd Zuki Ali (tengah) ketika sesi mesyuarat Task Force, petang tadi.
- Diterbit 27 Disember 2021 8:46 AM MYT

MESYUARAT Task Force hari ini memutuskan beberapa perkara mengenai pengurusan Pasca Banjir dan kesiapsiagaan menghadapi golongan kedua bencana tersebut.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dato Seri Mohd Zuki Ali berkata, beberapa perkara telah diputuskan di dalam mesyuarat itu antaranya ialah penyaluran Bantuan Wang Ihsan (BWI) kepada pihak negeri buat ketua isi rumah (KIR) dan waris mangsa bencana yang telah meninggal dunia

“Bantuan wang ihsan sebanyak RM1,000 diberikan kepada ketua isi rumah manakala RM10,000 pula disalurkan kepada waris bencana yang telah meninggal dunia.

“Penyaluran ini akan dilaksanakan melalui tiga kaedah iaitu serahan tunai di Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB), rumah ke rumah atau pemindahan tunai secara atas talian (EFT). Ia bertujuan mempermudahkan urusan penyaluran BWI kepada mangsa secara efektif dan pantas melalui pengesahan daripada Ketua Komuniti yang dipertanggungjawabkan tanpa perlu mengisi sebarang borang permohonan,” jelasnya sambil menambah bantuan ini akan dibayar bermula hari ini.

Menurutnya, sehingga hari ini, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM34 juta untuk disalurkan kepada 34 ribu KIR di negeri-negeri yang terjejas banjir melalui BWI.

Mengulas lanjut, beliau berkata Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sedang mengatur gerak sinergi aset-aset kerajaan dan keperluan aset daripada pihak swasta, Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan individu bsgi pengurusan pembersihan pasca banjir.

“Usaha ini mendapat bantuan daripada Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) menerusi penyediaan stesen pemindahan sisa pepejal sementara yang dikenalpasti serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membantu memastikan kelancaran laluan jentera untuk kerja pembersihan,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Zuki turut memaklumkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah menyelaras pembahagian kawasan angkat yang terjajas banjir dan usaha mobilisasi anggota pekhidmatan Awam bagi membantu kerja-kerja pembersihan dan kemanusiaan.

“Selain itu, kita juga akan bertindak segera dalam kerja pembaikan infrastruktur seperti jalan perhubungan, tebatan banjir, pembentungan, saliran dan utiliti.

“Tindakan ini diselaraskan oleh Kementerian Kerja Raya (KKR) dan KASA melalui kaedah perolehan yang dipermudahkan bersama-sama Kementerian Kewangan (MOF) demi kepentingan awam,” tambahnya.

Jelasnya, mekanisme kesiapsiagaan pengurusan bencana dan pasca bencana terus diteliti dan diperkemaskan tertakluk kepada arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dari semasa ke semasa.

Mesyuarat Task Force yang diadakan hari ini turut dihadiri oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman ; Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang; Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani ; Ketua-ketua setiausaha kementerian dan ketua Jabatan yang terlibat dalam pengurusan bencana. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas