Berita

Lima nelayan bom ikan ditahan APMM

- Diterbit 8 September 2024 11:49 AM MYT

SERAMAI lima nelayan membabitkan seorang warga tempatan dan empat warga asing berumur 18 hingga 55 tahun ditahan Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) disyaki menjalankan aktiviti bom ikan di perairan Pulau Tiga.

Menurut Pengarah Zon Maritim Labuan Izwanhadi Idros, kejadian tersebut terbongkar apabila pasukannya melakukan rondaan di perairan berkenaan dan membuat pemeriksaan terhadap bot berkenaan sekitar pukul 1 petang, pada Jumaat.

Katanya, ketika pemeriksaan dilakukan empat warga asing berkenaan tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

“Nilai keseluruhan rampasan termasuk bot serta 200 kilogram ikan bom pelbagai jenis dianggarkan bernilai RM 80,000.

“Turut ditemui peralatan menyelam pelbagai jenis serta hasil tangkapan ikan pelbagai jenis seberat 200 kilogram.

“Pemeriksaan pada hasil tangkapan mendapati organ dalaman ikan telah hancur dipercayai kesan aktiviti pengeboman ikan,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Tambahnya, semasa penggeledahan yang dilaksanakan oleh pasukannya turut menemui beberapa peralatan mengebom ikan di atas bot tersebut.

“Kesemua nelayan, bot serta hasil tangkapan ditahan dan dibawa ke Jeti Maritim Labuan untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat dibawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/1963,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas